Langit Ilahi Rotating Header Image

Saya terasa.

Dunia, adil lah kamu seperti adilnya alif, adil di atas, adil di bawah.

Dunia, adil lah kamu seperti adilnya alif, adil di atas, adil di bawah.

Orang Islam dikejutkan dengan dua berita besar baru-baru ini.

Kisah rusuhan dan keganasan etnik di Xianjiang, dan kisah gempar pembunuhan seorang muslimah di kamar mahkamah. Ramai orang bertanyakan saya itu dan ini, malah ada yang sempat berbicara kepada saya berkenaan kesensitifan mahasiswa Islam dalam berhadapan dengan situasi ini.

Orang bertanya, apakah saya terkejut dengan perkara-perkara yang melibatkan ummat Islam hari ini?

Saya menjawab, tiada apa yang mengejutkan saya. Selepas apa yang menimpa Palestin, dan pembunuhan ummat Islam terang-terang di sana, tiada apa lagi saya hendak terkejutkan, atas apa-apa masalah yang berlaku di dalam dunia ini. Hal ini kerana, telah jelas bahawa, orang-orang kafir itu tidak senang dengan deen Allah ini dan cuba sedaya upaya untuk menghancurkannya.

Bila ada sahaja masalah berkaitan dengan Islam, maka segala keadilan ditolak tepi, segala pencabulan dibenarkan, dan segala kerosakan ke atas ummat Islam dipandang biasa.

Sesungguhnya saya, amat terasa dengan keadaan ini.

Sangat-sangat terasa.

Saya masih teringat, ketika saya membaca sirah-sirah peperangan di dalam Islam.

Ada beberapa perkara menarik perhatian saya. Pertama adalah wasiat kepada setiap general Islam agar tidak memperapa-apakan wanita, anak-anak dan orang tua yang tidak upaya, tidak menganggu pula sesiapa yang berada dalam rumah ibadah, sama sekali tidak dibenarkan memotong pokok mahupun meruntuhkan rumah-rumah tanpa keperluan.

Saya tertarik dengan kisah Saidina Ali RA, yang telah menggambarkan kesucian Islam di tengah medan berdarah apabila dia tidak memenggal kepala kuffar yang meludahnya. Bila ditanya kenapa, Saidina Ali menjawab, aku takut aku memenggalmu kerana aku marah, bukan kerana Allah.

Saya juga rasa tersentuh dengan kisah Umar RA yang berjaya membuka kota Palestin, kemudian diajak melakukan solat di dalam gereja, tetapi dia menolak. Katanya kepada ketua gereja:

“Aku risau jika aku solat di dalam gerejamu ini, maka orang-orang Islam akan menukar gerejamu kepada masjid”

Saya juga amat kagum dengan Salahuddin Al-Ayubi, apabila dia menawan semula Palestin tanpa merobohkan bangunan dan membunuh orang di dalamnya. Sehingga ada yang berkata:

“Berbeza sungguh, sedangkan semasa kita datang menawan palestin dahulu, darah-darah orang Islam tumpah, membanjiri hingga sampai ke paras lutut kuda kami”

Tetapi hari ini, orang-orang kuffar tidak sedikit pun mengenang kebaikan-kebaikan itu. Mereka, dengan penuh rasa dengki, benci, sakit hati, busuk rohani, cuba sedaya upaya menghancurkan kehidupan ummat Islam, tidak kira di mana sahaja ummat Islam itu berada.

Mereka merancang dengan teratur, dan membuat pelbagai rancangan busuk untuk merosakkan nama Islam. Lihat bagaimana kejinya mereka menyusun kisah 11 September 2001, yang sehingga kini pun masih belum ada bukti yang menunjukkan bahawa orang Islam bersekongkol dalam hal itu.

Kita lihat pula bagaimana mereka mencipta bukti palsu di Iraq, berkenaan kewujudan bahan Nuklear di sana untuk memasuki dan memusnahkan negara itu. Hingga kini, belum dijumpai lagi bahan nuklear itu.

Kita lihat pula bagaimana mereka melayan tahanan-tahanan Guantanamo. Saya hendak bertanya, di manakah keadilan yang mereka junjung? Bagaimana, mereka melayan kita? Bandingkan, bandingkan kisah-kisah yang saya kagum di atas, dengan sikap orang-orang kafir terhadap orang-orang Islam yang telah saya tulis. Bagaimana?

Tidak adil. Malah sesiapa yang mempertahankan negara mereka dari penjajah dipanggil pengganas. Hamas dipanggil pelopor pengganas, Taliban di Afghanistan dipanggil dalang perancang keganasan, sedangkan Amerika merampas tanah itu daripada orang Red Indian dengan tumpahan darah, dengan cara haram, seterusnya membangunkan kuasa dunia di atas tanah haram itu, tidak mengapa. Israel yang terang-terang masuk ke Palestin dengan cara yang tidak sah, meruntuhkan rumah-rumah yang asalnya milik Palestin, itu semua dipejamkan mata sahaja.

Hari ini, kisah ini berulang lagi. Keganasan etnik di Xianjiang. Apakah kita boleh menerima? Apa bezanya Xianjiang dengan keganasan etnik Serb yang berlaku di Bosnia Herzegovina dulu? Apa bezanya dengan Chechnya?

Perempuan ditikam di tengah mahkamah. Apakah kita boleh menerima? Apa bezanya dengan pengeboman ke atas Syeikh Ahmad Yassin, dengan empat torpedo daripada Helikopter Apache, sedangkan Syeikh Ahmad Yassin itu seoranng yang lumpuh dari leher hingga ke telapak kaki, bersuara perlahan, dan tidak mampu pun mengangkat senjata. Apa bezanya dengan penangkapan beramai-ramai wanita yang memakai tudung di Turki? Apa bezanya?

Dunia melayan Islam dengan tidak adil. Sedangkan hari ini, kemajuan hari ini, dibangunkan dari kitab-kitab Baghdad yang mereka curi, sedangkan kemajuan hari ini datangnya dari penemuan-penemuan ulama’ Islam yang mereka bunuh. Sedikit pun dunia tidak ingat bagaimana baiknya Islam melayan mereka dahulu semasa Islam berkuasa.

Yahudi dan Nasrani juga dijaga dengan baik semasa kekuasaan Islam. Malah, jika ada pemerintah yang menzalimi orang kafir, maka pemerintah itu akan dikenakan hukuman.

Saya masih ingat berkenaan kisah Amru yang menjadi Gabenor Mesir pada zaman Umar Al-Khattab. Amru ini telah membina sebuah masjid di kawasan tanah orang yahudi, tanpa kebenaran. Lantas, orang yahudi ini mengadu kepada Saidina Umar RA. Saidina Umar RA mengambil tengkorak kepala manusia, lalu membuat garisan ‘alif’ pada dahi tengkorak itu, kemudian memangkahnya.

Disuruhnya lelaki yahudi itu membawa pulang tengkorak itu kepada Amru. Lelaki yahudi itu hampir sahaja putus asa kepada Saidina Umar, menyangka bahawa Saidina Umar mempermainkannya. Datang dari jauh, Mesir ke Madinah, tetapi hanya diberikan tengkorak.

Namun, apabila tengkorak itu sampai ke tangan Amru, Amru terus terjelepok jatuh dan terus menyuruh agar masjid itu dirobohkan, tanah dikembalikan dan rumah orang yahudi dibina semula.

Yahudi itu terkejut dengan reaksi pantas Amru, lantas bertanya: “Wahai Gabenor, apakah maksud tengkorak itu?”

Amru berkata: “ Alif yang dipangkah pada dahi tengkorak itu bermaksud: Wahai Amru, adil lah kamu sebagaimana adilnya alif, sama di atas, sama di bawah. Tetapi, andai kata kamu tidak adil wahai Amru, maka akanku cantas kepalamu”

Yahudi itu terus tidak jadi mengambil haknya, dan masuk Islam kerana teramat kagum dengan keadilan Umar Al-Khattab. Adil, walaupun yang dibelanya adalah yahudi, dan yang bersalahnya adalah pemimpin Islam sendiri.

Hari ini bagaimana?

Bagaimana dunia melayan Islam?

Saya terasa.

Saya, amat-amat terasa.

Print This Post Print This Post

14 Comments

  1. kembar says:

    :arrow:

    “tunggu mereka”

    “mereka masih perlu saling ingat mengingatkan”

    Al-Ahzab [72]

    (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan..

    moga “kebanyakan” itu di reduce Akhirnya

    ~Terkadang kita lupa bahwa meniti jalan Islam adalah dengan hidayah tdak semata pada ‘intelektual’

    spiritual bayi masih tahu membeda..http://www.flickr.com/photos/bradimmanuel/112950363/

  2. edar edar says:

    sedih melihat kekejaman kuffar terhadah golongn minoriti islam kini..kita di tindas ..di hina..ayuhla bangkit wahai pejuang islam ..kita bersatu hati tegakkan keadilan..sama2 bantu ummat yg selalu di tindas..aku dgr pensyarahku berkata ms kuliahnya td,semasa salah seorang menteri palestin datang ke malaysia beliau berpesan amat rugilah sebagai seorg rakyat malysia jika kita tidk mengucapkan 100x syukur kpd ilahi setiap kali kita bgn dr tidur..kerana di palestin setiap kali bgn dr tdr pasti ketakutan dan di dlam setiap gngaman remaja nya hanya ada btu dan baling untuk menghalang kkjaman yahudi…sama2 kita berdoa untuk ummat islam…

  3. imansyauqina imansyauqina says:

    assalamualaikum…

    tak berdaya.. jika dunia melayan Islam dengan sekejam itu , bgmana pula kita yang muslim melayan Islam deen itu sendiri ??

    malu dengan Umar, jika para sahabat masih hidup…

    tak mampu nak mengangkat kepala jika Rasulullah S.A.W melihat keadaan umatnya sekarang..

  4. chainrxn says:

    mengapa dunia begitu kejam dan semakin kejam :roll:

  5. chainrxn says:

    hipotesis terakhir:

    semakin huruf itu dimakan

    semakin ramai mengejar kestabilan

  6. imansyauqina imansyauqina says:

    mengingatkan saya satu kata- kata yang sya tak pasti dari siapa.. jika kamu membunuh dia , maka akan lahir lebih ramai yang sama dengan dia utk memperjuangkan Islam.. kerana Allah akan sentiasa memelihara Islam itu sendiri..

    seingat sya , ianya dari salah seorang perintis Hamas..

    betulkan sya jika sya salah..

  7. Nurun says:

    Dunia ini adalah syurga bg org yg kufur dan medan perjuangan bg org Islam..

  8. mastura mastura says:

    Assalamualaikum..
    saya juga turut terasa dgn keadaan sekarang ini..
    betapa beruntungnya kita sbg umat Islam…tapi kdg2 kita alpa
    dgn kenikmatan yg Allah anugerahkan pada kita…sama2 la kita
    muhasabah dan memperbaiki diri dan iman kita…

  9. +fobia+ says:

    keadilan itu akan dikembalikan.

  10. laksamana laksamana says:

    Assalamu’alaikum,

    kepada kembar,

    terima kasih atas perkongsiannya.

    kepada edar,

    kesatuan itu tidak akan terbentuk, jika ummat masih menolak sistem Allah untuk ditegakkan. Apabila manusia tidak faham kenapa mereka perlu bersatu, maka kesatuan itu tidak akan berlaku, walau kebanyakan manusia berulang kali menyeru.

    Semoga Allah bantu kita dalam hal ini…

    kepada Iman Syauqina,

    mereka tidak akan bangkit lagi. Jadi, malu kita tidak bermakna. Yang bermakna adalah usaha kita sekarang. Apa usaha kita?
    merintih sahaja tidak akan berguna. Kata-kata hikmah sahaja tidak akan bermakna.
    Maka usaha dengan gerak dan amal, dalam memperbaiki ummah ini, pastinya akan membawa perubahan yang berjaya.

    Sebagaimana Rasulullah SAW di tengah masyarakat jahiliyah, merubah mereka, membawa mereka kembali kepada Allah, seterusnya menggoncang dunia, jalan itu jugalah yang perlu kita ambil dalam keadaan dunia hari ini.

    kepada Chainrxn,

    Dunia kejam kerana mereka tidak faham.

    kepada Nurun,

    namun dunia adalah hak semua. Maka, keadilan itu perlu ditegakkan, oleh mereka yanng merasakan tanggungjawab sebegai khalifah di atas muka bumi ini.

    kepada Mastura,

    Sebab itu, kita kena gerakkan tubuh kita, untuk berusaha, memberi apa yang mampu kita beri…

    kepada fobia,

    amiin… sama-sama kita usaha lagi.

    ~seorang hamba…

    Hilal Asyraf

  11. sirihgambir.blogspot says:

    setiap perbuatan pasti ada balasan…walaupun lambat

  12. http:///www.sirihgambir.blogspot says:

    perbuatan yang melampui batas…perjuagan harus di tegakkan..tapi hanya segelintir yang faham tentang perjuangan

  13. laksamana laksamana says:

    Assalamu’alaikum,

    kepada sirihgambir,

    tetapi kita tidak pula hendak menunggu semata-mata. Kita, bukan memberikan pembalasan kepada mereka sebenarnya. hakikatnya, kita tidak menggerakkan diri kita, dengan titik tolak kedendaman.

    Kita bergerak, untuk melimpahkan mereka dengan cahaya kebenaran.

    InsyaAllah…

    ~seorang hamba…

    Hilal Asyraf

  14. kiraryuk says:

    astagfirullah..bnar kata imansyauqina..
    ana malu yg teramat..tdk mmpu rasany utk mengangkat kpala sekiranya Rasul dan para sahabat masih ad..

Leave a Reply