
cinta selamanya atas keimanan
Bab 3 pula memunculkan diri…
Jom baca!
Cahaya dan kegelapan
Suasana selepas subuh di masjid jami’ah agak tenang. Sekarang, masjid ini tidak lagi memasang penghawa dingin. Musim panas sudah berada di penghujung, dan musim sejuk tidak lama lagi akan datang. Keadaan sekarang sudah agak dingin.
Erman menggeliat. Menghilangkan saki baki mengantuk yang masih bergayut-gayut. Kemudian dia menolak tubuh Syafiq yang sudah hilang dalam lenanya sambil duduk.
“Weh, bangun. Jom balik” Erman bangun.
Syafiq pula menggeliat, meregangkan tubuh badan. “Ei, letihnya” Dia juga bangun.
Erman dan Syafiq berjalan ke arah pintu masjid. Dalam perjalanan mereka ke pintu itu, mereka melalui ramai pelajar melayu. Beberapa senior yang mereka kenali, boleh dikatakan semuanya ada. Ramai lagi yang belum mereka kenali.
Yang dekat, mereka hulurkan tangan untuk bersalaman. Yang sedikit jauh, mereka akan mengangkat tangan dan melemparkan senyuman. Ini satu adab yang wujud dalam masyarakat melayu di Jordan. Kenal atau tidak, yang penting mesti sapa menyapa. Jangan lalu sahaja tanpa ada hubungan. Ini juga adalah rahsia, kenapa hubungan melayu di Jordan amat erat. Seperti satu famili.
“Ei, ramai kan pelajar melayu datang subuh di sini?”
Syafiq mengangguk. Sudah hampir tiga minggu mereka di sini. Tiga minggu itu jugalah dia melihat bahawa bilangan pelajar melayu yang datang ke masjid ketika subuh tidak pernah surut. Maghrib dan Isya’ usah diceritakan. Lebih ramai lagi.
“Kalau di Malaysia, susah nak tengok anak muda macam kita ni ada di masjid masa subuh”
“Masa maghrib dan isya’ pun tak nampak muka” Erman menambah.
“Sini nampaknya agak unik” Syafiq melontarkan komentar ikhlas.
Memang. Dia juga agak hairan. Bagaimana pelajar-pelajar di sini mampu menjadi sebaik ini. Bangkit subuh bukanlah sesuatu yang mudah. Lebih-lebih lagi di luar sekolah berasrama. Tiada peraturan untuk bangun subuh pukul berapa. Tiada warden yang mengejutkan. Namun pelajar melayu di sini mampu berbuat demikian. Apakah rahsianya?
“Ei, tengok tu” Erman menunjuk.
Syafiq memandang ke arah yang ditunjuk. Sebuah tiang, dan bersandar pada tiang itu dua orang manusia. Seorang sedang melentokkan kepalanya pada bahu seorang yang lain. Manakala yang bahunya dijadikan bantal itu, hanya menegakkan kepalanya. Kelihatan mulut yang menegakkan kepalanya itu terkumat kamit.
“Abang Irfan dengan Bro Asid” Syafiq tersenyum.
Masjid jami’ah terbahagi kepada lima bahagian. Bahagian pertama adalah bahagian yang menghadap syari’ jami’ah. Bahagian kedua adalah bahagian tengah, ruang solat utama. Bahagian ketiga adalah yang menghadap Universiti Yarmouk. Bahagian keempat adalah di belakang bahagian pertama, di tempat itu tiada bumbung. Bahagian kelima adalah tempat solat wanita di tingkat lima.
Sekarang mereka berada di bahagian yang pertama. Melihat Irfan dan Asid dalam keadaan yang mesra.
“Tasmi’ Al-Quran ke?”Erman cuba mengagak. Sebab dia mendengar ayat-ayat Al-Quran keluar dari mulut Asid yang sedang menegakkan kepala.
“Maybe. Abang irfan tak tidur pun. Dia macam tengah dengar”
“Macam couple la diorang ni. Kalau laki perempuan, habis kena tangkap khalwat ni”
Hampir pecah gelak Syafiq. Mujur dia teringat akan tempat ini adalah masjid.
“Apa la kau ni. Ada patut kena tangkap khalwat dalam masjid”
Erman tersenyum. “Tak ada orang kutuk diorang ni gay ke?”
Ketika ini, kehadiran mereka dikesani oleh Asid. Pantas senior itu mengangkat tangan. Menyapa dari jauh. Syafiq dan Erman membalas. Irfan kemudiannya mengikut gaya Asid. Syafiq dan Erman melemparkan senyuman. Oleh kerana dua lelaki itu agak jauh, maka mereka tidak berhajat mendekati. Tambahan, kedua lelaki itu kelihatan sedang berehat-rehat.
Syafiq dan Erman terus menyarung selipar, dan keluar dari masjid. Berjalan di tengah syari’ jami’ah yang lengang. Kedai-kedai di sini hanya dibuka selepas pukul 10.00 pagi. Agak lewat.
“Kau kata apa tadi? Gay?” Syafiq kembali mengungkit kata-kata Erman.
“Em, tade yang kutuk diorang gay ke?”
Syafiq jungkit bahu. “Mungkin sebab semua orang memang tak ada alasan nak kutuk mereka. Ya lah, kita pun tahu yang Abang Irfan dan Bro Asid tu sangat baik.”
Erman mengangguk. Benar. Abang Irfan dan Bro Asid sangat baik. Sangat-sangat baik. Ketika minggu pertama, mereka berdua telah menziarahi semua rumah pelajar tahun satu. Malah, mereka berdua lah yang menawarkan diri untuk membawa pelajar-pelajar baru berkenalan dengan balad.
Untuk pelajar Yarmouk, Abang Irfan siap melapangkan masa untuk membawa mereka tasjil, walaupun ada pelajar tahun dua yang ditugaskan untuk itu.
Kedua mereka amat caring, lembut, dan baik dengan semua orang.
Siapa sanggup untuk mengutuk mereka?
Tambahan jika perkara yang dikutuk itu tidak benar.
“Aku harap, aku dengan kau pun boleh jadi macam mereka” Syafiq mendekatkan bahunya kepada Erman.
Erman ketawa. “Kalau macam itu, kau kena tanya la, apa rahsia diorang rapat macam itu”
“Aku tahu dah.”
“Ha, apa resipi ukhuwwah mereka?”
“Iman”
“Iman?”
Syafiq mengangguk. “Iman sebagai masdar wahid, yang menggerakkan segala-galanya. Apabila segala-galanya terbina di atas dasar keimanan, maka perkara itu tidak akan mampu digegarkan”
“Wah, mana kau dengar ni?”
“Aku tanya Saiful Hadi la”
“Ooo” Apa yang disebut oleh Syafiq, adalah satu perkara baru untuk Erman.
“Jadi, kalau nak jadi macam mereka, pertama sekali kena pertingkatkan kualti keimanan kita kepada Allah SWT”
“Kenapa?” Erman tidak faham.
“Sebab, kalau kita kasih sahabat kita kerana dunia, dunia akan hancur. Tetapi, kalau kita kasih sahabat kita kerana Allah, Allah itu hidup dan tidak akan mati. Kasih kita akan menembusi akhirat”
“Oh. Kalau sahabat kita buat salah? Kena kasih juga?”
“Kena tegur la.”
“Kenapa? Kenapa tak tinggal je?”
“Lah, kata sahabat. Sahabat apa kalau tinggal sahabat. Kalau kasihkan sahabat sebab Allah, maka kita mesti mahu sahabat kita jadi hamba Allah yang terbaik. Jadi, bila sahabat kita salah, kita kena la tegur.”
“Hem… Susah jugak. Siapa la yang sanggup bertahan dengan sahabat yang buat salah. Mana la tahu tetiba kawan tu berzina ke, apa ke”
“Sebab itu, ukhuwwah yang utuh tu, hanya datang jika dasarnya adalah iman” Syafiq menjelaskan.
Erman senyap. Kemudian tersenyum. “Banyak kau belajar ya”
“Saiful Hadi tu cerita panjang sangat”
Mereka berdua ketawa. Terus berjalan melepasi kedai-kedai yang masih belum dibuka. Pelajar tahun satu lelaki biasanya ditempatkan di kawasan perumahan Umar Mukhtar, di belakang Mat’am Abu Mahmud. Sebaik sahaja mereka melepasi Mat’am Abu Mahmud, mereka bergerak masuk ke lorong besar, dan menuju ke kawasan perumahan Umar Mukhtar.
Sambil berjalan, menikmati hawa pagi, Erman terfikir akan kata-kata Syafiq tadi.
“Iman ha…”
****
“Macam mana Baha?” Asid mengambil tempat di sebelah Baha.
“Macam mana apa?” Baha tidak faham akan pertanyaan itu.
“Ziarah ke rumah The Light Five” Irfan pula duduk di sebelah Baha.
“The Light Five?” Baha hairan. Tidak pernah dengar.
“Irfan ni ha, gatal bagi nama lain kat Disaster Five”
Baha hampir hendak tergelak mendengar. “Kau ni, baik sangat la” Bahu Irfan ditolak.
“Aku cakap dah” Asid menambah.
Mereka bertiga terus berjalan. Melepasi Fondok Hijazi yang belum siap. Entah, sudah berapa tahun fondok ini dibina, tetapi nampaknya sekarang tinggal terbengkalai begitu sahaja.
“Aku pun tak tahu la budak berlima tu.”
“Aku dengar, dua dari mereka yang belajar di Yarmouk, berjaya lulus dalam ujian kemasukan. Betul ke?”
Baha mengangguk. “Keputusan keluar dua hari lepas. tiga orang dari dua puluh pelajar Yarmouk tahun 1, lepas”
“Mereka berdua… dan?” Irfan angkat kening sebelah.
“Erman. Baik dengan aku tu. Selalu aku ajak lepak”
“Oho, kenal-kenal. Kami ada ziarah rumah dia. Ada seorang lagi budak dentist yang duduk dengan dia. Namanya Syafiq” Asid memetik jari dan menggerakkan tangan, tanda dia ingat.
“Ha, itu macam partner dia la. Pergi mana-mana sama-sama. Nasib baik kos lain. Sorang Yarmouk, sorang JUST”
“Macam kita la” Asid memandang Irfan.
“Boleh jadi kembar the second” Irfan berseloroh.
Baha dan Asid tersenyum.
“Jadi, budak berdua tu, boleh terus ikut kuliah di Universiti la?”
“Ha’ah”
“Lagi tiga macam mana?” Irfan memandang Asid. Tiga lagi ahli Disaster Five adalah pelajar JUST. Dua mengambil perubatan dan seorang mengambil pergigian.
“Em, ikut Atiff Nordin, mereka pun lepas dalam ujian kemasukan. Nampaknya, mereka tak perlu ambil Bahasa Inggeris, Bahasa Arab dan Komputer”
“Hebat jugak ya lima orang tu”
“Dah genius”
Akhirnya mereka bertiga mengangguk bersama.
“Kami ingat, kami nak ziarah rumah mereka hujung minggu ni” Baha memberitahu.
“Baguslah. Kami dah ziarah tempoh hari. InsyaAllah, kalau kita sentiasa ziarah dan ambil berat berkenaan mereka, lama-lama, hati mereka lembut”
Asid mengangguk mendengar kata-kata Irfan itu. Ya, alangkan batu pun boleh dilekukkan air bila dititis tidak henti-henti. Pokoknya, apakah manusia boleh sabar dan tenang dalam mengajak manusia lain?
“Jangan kita anggap, kehadiran mereka sebagai beban. Mereka itu perlu kita nampak sebagai peluang untuk kita berusaha lebih keras. Mereka adalah ujian, untuk membuktikan keimanan kita kepada Allah SWT. Sepatutnya, kita hargai mereka” Irfan menambah.
“Em, terima kasih la Irfan. Kau memang senior yang baik”
“Aku?” Asid menunjuk pada dirinya.
“Kau? Hu hu, soalan yang susah tu”
Pecah tawa mereka bertiga. Irfan yang berjalan di tengah memaut leher Baha dan Asid.
“Kita semua baik insyaAllah, selagi kita ini berpegang kepada apa yang Allah suruh, dan tinggal apa yang Allah larang” Dia memandang kedua-dua sahabatnya itu.
Baha dan Asid mengangguk.
“Jadi, tugas kita, adalah bagi masyarakat sekeliling, sahabat-sahabat kita, faham akan perkara ini. Semuanya bermula dengan memperbaiki keimanan diri”
“Iman sebagai perlembagaan utama dalam hidup” Baha bersuara.
“Sodaqta” Asid memetik jari, bersetuju.
“Oklah korang, balik dulu” Baha mengangkat tangan Irfan. Mereka sudah sampai ke bangunan PERMAI. Bangunan ini mendapat jolokan sedemikian kerana semua ahlinya adalah melayu. Tambahan, rumah rasmi PERMAI terdapat di tingkat bawah bangunan ini. Rumah Baha terdapat di tingkat tiga.
“Ok. Belajar rajin-rajin” Asid melambai.
Selepas mengucapkan salam, Baha terus menaiki tangga untuk pulang ke rumahnya.
Asid dan Irfan berjalan pulang ke rumah.
“Semoga, Allah kekalkan nikmat iman itu dalam diri kita, dan sebarkannya kepada manusia di sekeliling kita” Irfan memandang Asid.
Asid tersenyum. “Kita usaha bro, kita usaha. InsyaAllah, Allah bantu”
Irfan membalas senyuman itu.
“Jom balik. Boleh rehat sekejap sebelum pergi kelas”
“Hari ini tak buat sarapan?”
“Buat”
“apa dia?”
“Sardin”
“Cantik. Kau memang best la Irfan.”
Mereka berpaut tangan dan berjalan pulang.
****
Dis One, atau nama sebenarnya adalah Badruddin Jamil, duduk bersila. Entah kenapa, hatinya sekarang terasa panas.
“Heyya mate, tak makan ke? Sedap sardin ni” Dis Two mencecah rutob ke dalam kuah sardin.
Dis One memandang temannya yang seorang itu dengan pandangan yang menyala. Dis Two, atau nama sebenarnya Yusuf Erham, memang seorang yang pantang mendapat hadiah atau melihat peluang. Pasti diterkamnya tanpa berfikir terlebih dahulu. Walaupun itu daripada musuh.
Dus! Kepala Dis Two menjadi mangsa tangan Dis Five. Mujur makanan di dalam mulutnya tidak terkeluar.
“Hoi Wafiq, ko nak aku punya IQ turun ke?” Terjegil matanya memandang Dis Five.
“Iq kau memang dah menurun pun sekarang ni” Dis Three bersuara. Dia pun memandang dengan pandangan yang kurang menyenangkan.
“Akal kau letak kat mana ha?” Dis Four menggerakkan tangan hendak menonjol kepala Dis Two. Dis Two pantas menepis.
“Ini melampau la ni. Harith, Muiez, korang nak mampus ke?” Dis Two betul-betul panas.
“Kau la yang nak mampus!” Pang! Satu tamparan hinggap pada kepala Dis Two. Terjatuh dia di hadapan dulang. Mujur tidak jatuh di dalam dulang. Kalau tidak, mandi kuah sardin hari ini.
“Itu kan daripada musuh kita! Otak kau ni memang slow la!” Dis One menempik. Dia benar-benar marah.
“Tapi itu kan makanan? Korang pun bukannya masak sarapan.” Dis Two bangun. Tangannya memegang kepala. Dunia macam berpusing ditampar kuat dan mengejut sebegitu.
“Mana la tahu diorang letak racun apa-apa dalam kuah tu” Dis Three membuat andaian.
“Mustahil. Diorang orang baik” Dis Two cuba membela diri.
Terus lehernya dicekik Dis One. “Kau, kau cakap sekali lagi yang diorang tu baik, nahas kau”
“Okay, okay” Dis Two mengalah. Tidak tahan. Dis One memang lebih kuat daripadanya.
“Aku lapar je bro. Rilek la” Dis Two mengengsot ke tepi dinding. Kini, semua Disaster Five memandang ke tengah.
Talam berisi Sardin itu dipandang.
Pagi tadi, Irfan datang membawa lauk sardin itu. Terkejut semua ahli rumah. Dis Two tanpa segan silu terus menerkam. Yang lain tidak mampu berbuat apa-apa, hinggalah Irfan berlalu pergi.
“Dia tu nampaknya bergerak pantas lagi daripada kita. Ini tak boleh jadi” Dis One menumbuk lantai.
Tempoh hari ziarah rumah. Bawa halawiyat sekali. Bukan main suka Dis Two. Ketika itu, hendak tidak hendak, mereka yang lain terpaksa memaniskan muka dan melayan Irfan dan Asid dengan baik. Memang, mereka tidak mahu menimbulkan masalah yang boleh menghentikan terus pergerakan mereka. Mereka perlu bijak.
Dis One tidak nampak bahawa perbuatan Irfan dan Asid itu adalah ikhlas. Dia lebih nampak bahawa Irfan dan Asid hendak menyekat pergerakan mereka.
Dia tidak suka. Entah kenapa, di matanya, dia nampak Irfan dan Asid itu macak ketua pengawas dengan timbalan pengawas pula. Penghalang.
“Betul cakap Secret. Kita kena tumbangkan mereka segera” Dis One memandang semua.
Dis Five, Four, Three mengangguk. Dis Two masing memegang kepalanya. Sakit belum hilang.
“Nampaknya, mereka tu lebih hebat daripada PERMAI” Dis Four bersuara.
“Jadi, kita kena buat strategi” Dis Three memberikan cadangan.
“Hancurkan mereka” Dis Five.
“Apa-apa lah, asalkan korang senang hati” Dis Two nampak tak bersemangat. Ya la, pagi-pagi sudah kena ‘bala’.
Dis One diam sebentar. Nampaknya, secara tidak langsung, dia seakan-akan kembali ke zaman sekolah menengah. Zaman Disaster Five bertempur dengan pengawas-pengawas dan guru-guru. Pelbagai helah, muslihat dan strategi digerakkan. Akhirnya mereka benar-benar membuatkan sekolah mereka terbalik dengan kegeniusan mereka.
“So Boyz, nampaknya, kita kena kerja keras” Dis One memanjangkan tangan ke tengah.
Semua yang ada berbuat perkara yang sama.
“Hancurkan halangan!” Laungan itu disebut, laungan yang sama sebelum mereka melaksanakan projek-projek menjatuhkan pengawas dan guru di sekolah mereka.
“Holla!” Semua menjawab serentak.
Dis One nekad. Kali ini dia akan buat strategi yang paling licik, dan taktik yang paling kejam. Dia tidak akan membiarkan geng-geng berlagak alim ni rosakkan kehidupannya.
Dia akan terbalikkan hidup Irfan dan Asid, macam dia terbalikkan sekolahnya dahulu.
“Er… Frenz, ni… Sardin ni..” Dis Two memandang talam berisi Sardin. Rasa lapar masih ada.
“Buang” Dis One bersuara tegas.
Dis Two terus monyok. Bangun, dan membuang isi talam itu ke tong sampah.
****
“Seronok la dentist ni kan?” Asid memandang Dzulkarnain.
Dzulkarnain tersenyum. “Seronok sebab apa?”
“Sebab tempat praktikalnya dekat dengan rumah. Hu hu”
“Cet, kalau macam tu, baik tak payah ambil dentis” Halim menyampuk.
Tiga-tiga mereka ketawa. Tempat praktikal untuk pelajar yang mengambil pergigian di JUST memang amat dekat dengan tempat tinggal pelajar melayu. Klinik itu hanya berada di sebelah Universiti Yarmouk sahaja.
Mereka perlu masuk ke bab syarqi Yarmouk, kemudian berjalan melepasi Bangunan Fakulti Sejarah dan Arkeologi, seterusnya melepasi Fakulti Syariah, dan terus berjalan melepasi pintu keluar Yarmouk. Kemudian mereka akan bergerak ke kanan, dan sampai ke Markas Sihi Teknologia, tempat mereka menjalankan praktikal.
Jika pelajar perubatan JUST, mereka perlu menjalani praktikal di pelbagai hospital, mempunyai jadual pertukaran tempat praktikal dan sebagainya. Terpaksalah mereka menaiki teksi untuk ke tempat praktikal. Kadangkala terpaksa tergesa-gesa jika terlewat walau sedikit.
“Tak ada la, gurau la Halim”
“Tahu. Kita ni, buat apa pun kena perbaiki niat. Niat kena ikhlas kerana Allah. Barulah sesuatu itu dikira sebagai amal” Halim memperingatkan.
“Jangan lupa, sebelum niat ikhlas tu, kita kena pastikan jalan kita masyru’, dibenarkan syara’” Dzulkarnain menambah.
“Benar tu. Jalan kena masyru’, niat kena ikhlas. Baru Allah terima. Kalau niat ikhlas tapi jalan tak masyru’, mana boleh. Kalau jalan masyru’, niat tak ikhlas pun, tak boleh juga”
“Tapi, agak susah la kan nak buat benda tu?” Halim mengeluarkan pendapat.
“Memang susah, sebab tu kita kena lengkap melengkapi, ingat memperingati” Dzulkarnain menjawab.
“Betul Asid?” Dzulkarnain memandang sahabatnya itu.
Asid tersenyum. “Betul. Allah SWT berfirman: Dan berikanlah peringatan, sesungguhnya peringatan itu berguna untuk orang yang beriman”
“Akhirnya, keimanan itu juga yang menjadi dasar kepada kefahaman kita untuk beramal” Halim membuat konklusi.
Ya. Iman itu adalah pondasi paling utuh. Tidak akan tergoyah kefahaman jika iman menjadi asas. Namun tidak ramai yang faham kerana iman itu tidak terlihat. Iman hanya boleh dirasai oleh sesiapa yang mendalami. Kepentingan iman boleh dianalogikan seperti batang-batang besi yang ditanam ke dalam bumi sebagai pasak bangunan. Hendak membina bangunan yang tinggi, pondasi itu mesti kukuh. Pasak itu tidak kita lihat. Tetapi pasak itu yang paling penting.
Mereka terus berjalan. Asid tersenyum sendirian.
Tak sangka, usahanya dan Irfan membuahkan hasil.
Hari ini, di mana-mana pun di Irbid ini, apabila pelajar melayu berkumpul, akan ada sahaja suara-suara yang mengingatkan diri kepada Allah. Akan sentiasa ada peringatan. Akan sentiasa ada muhasabah. Hari-hari diisi indah. Terasa bermakna segala saat yang berjalan. Kerna kebanyakan pelajar di sini telah mula faham, betapa Islam itu perlu dijadikan sebagai tatacara hidup. Hidup hanya akan bermakna dengan apabila Allah kira. Dan Allah hanya mengira kehidupan mereka yang mengambil Islam sebagai deennya.
Keharmonian ini yang hendak disebarkan. Satu keharmonian yang tidak akan ada melainkan apabila sesebuah masyarakat itu mengambil Islam sebagai perlembagaan. Tapi bukan mudah. Dari tahun satu dia dan Irfan berusaha. Bukan mudah mengubah manusia, lagi susah mengubah masyarakat. Tidak seperti membentuk plastisin. Ketuk terus berubah. Hendak mengubah manusia dan masyarakat, perlukan seni yang halus, dan strategi yang mantap.
Permulaan juga perlu betul.
Dia dan Irfan, bermula dengan memperbaiki iman, hubungan manusia dengan Allah SWT.
Itulah kunci kejayaan mereka hari ini.
“Er, Assalamu’alaikum Bro Asid”
Mendengar lontaran salam itu, ketiga-tiga mereka menjawab sambil menoleh.
“Oh…” Dzulkarnain kenal. Halim tersengih. Siapa yang tidak kenal.
Asid tersenyum. “Ha, Muiez, Harith, apa khabar? Kuliah pagi ke?”
Harith dan Muiez mengangguk. Asid memandang bangunan fakulti Syariah di hadapannya. Dia pernah masuk menghadiri kuliah sebagai pendengar di sini, mengikuti Irfan. Orang sini panggil ‘mustami’, yakni dengar sahaja tanpa ambil periksa.
“Tak sangka jumpa bro di sini. Mustami’ ke?”
“Eh, tak adalah, kami kan praktikal dentist. Tempat praktikal kami kena cross Yarmouk. Depan Madinah Hassan” Dzulkarnain menjawab.
“Oh..” Muiz dan Harith macam baru tahu.
“Kami ni nak ucap terima kasih sebab ziarah rumah tempoh hari. Lepas tu baik pula, buatkan Sardin pagi tadi” Muiez bersuara.
“Ala, biasa la Asid dengan Irfan.” Halim memandang Asid. Asid menggeleng.
“Allah… sekali sekala. Nak eratkan ukhuwwah. Tak ada apanya. Mungkin lain kali, kamu boleh masakkan untuk aku pula”
Muiz dan Harith tersenyum. “Ni kami buatkan air untuk bro” Harith menghulur.
“Terima kasih la. Susah-susah aja” Asid menerima.
“Takpe bro, sama-sama. Nanti kita jumpa lagi”
“InsyaAllah”
“Oklah bro, kami naik dulu. Kuliah nak mula ni” Muiz menghulurkan tangan, bersalaman.
Asid, Dzulkarnain dan Halim mengangguk. Mereka pun perlu bersegera ke klinik.
Mereka berpisah.
“Ai, bila orang bagi air ni, tiba-tiba haus la pulak” Asid memandang botol air di hadapannya.
Yang peliknya, air itu separuh sahaja. Tidak penuh. Dzulkarnain perasan akan kepelikan itu. Tapi sebab itu adalah hadiah, dia pun tidak berkata apa-apa.
Asid duduk sebentar. Beradab dalam meminum.
Penutup botol diputarkan. Agak ketat. Dia berusaha kuat sedikit. Terputar.
Pom!
Basah. Baju Asid lencun dengan air. Rambutnya yang tersikat rapi terus menjadi serabut ditiup angin kuat. Matanya berkelip-kelip dua tiga kali. Telinganya berdesing. Botol air yang dipegangnya tadi, sudah melayang entah ke mana.
Dzulkarnain dan Halim memandang dengan mata yang tidak berkelip. Terkejut. Asid lebih terkejut. Kalau ada sakit jantung, mungkin nyawa sudah melayang.
Disaster Five pun sudah mula bergerak.




smbungan bila?
[Reply]
salam ziarah
[Reply]
Salam..
Nekad betul ya the light five nie…hEe..
[Reply]