Langit Ilahi Rotating Header Image

Sinergi - Cerita 1: Buku dan Ruas

Sinergi: Bila 1 ditambah 1, maka ia akan melahirkan 3

Sinergi: Bila 1 ditambah 1, maka ia akan melahirkan 3

Sinergi bab 1 sudah menjelma.

Enjoy it!

“Objek dakwah itu adalah hati, bukannya fizikal diri”

Cerita 1:

Buku dan Ruas.

“Okay, 1, 2, 3, Start!”

Asid dan Irfan memandang kamera di hadapan mereka.

“Assalamu’alaikum kepada semua, apa khabar anda hari ini?” Irfan memulakan bicara.

“Harapnya semua berada dalam rahmat dan maghfirah Allah. Moga iman kita semua tertingkat dan terjaga ya” Asid pula menyambung.

“Jadi Asid, hari ini apa yang hendak kita berikan kepada penonton?”

“Kita berikan mereka ini!” Asid menarik sebuah papan putih dari belakang mereka.

“Irfan, bagi aku marker”

“Siap” Irfan terus menghulurkan.

“Hari ini, kami hendak memberikan kepada penonton, satu cara bagi melihat jelas betapa kita tidak boleh mengambil Islam itu secara juz’i-juz’i. Apa itu juz’i-juz’i Irfan?”

“Maksudnya separuh-separuh”

“Ya, jadi mari lihat papan putih ini” Asid dan Irfan sama-sama memandang papan putih.

Asid menulis satu titik di tengah, dan dua garis. Satu garis di bahagian atas papan putih, manakala satu garis di bahagian bawah papan putih.

“Baik, seterusnya, Irfan?”

“Ya, sebelum kami meneruskan kerja di atas papan putih ini, kami inginkan pembaca mendengar satu ayat Allah SWT, dari Surah Al-Baqarah, yang bermaksud: Wahai orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam islam secara total, dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata

“Di sini, Allah mengarahkan kepada kita untuk mengambil Islam itu secara menyeluruh dalam segenap kehidupan kita. Dalam makan minum, pelajaran, hubungan, kekeluargaan, perundangan dan segala-galanya. Sedikit pun dalam hidup kita ini, tidak boleh kita campurkan dengan perkara-perkara yang Allah SWT larang”

“Jadi Irfan, maksudnya, kita tidak boleh mencampur-campurkan urusan hidup kita, antara ketaatan kepada Allah, dan kemaksiatan kepada-Nya?” Asid bertanya.

Irfan mengangguk. “Ya. Dan pastinya penonton semua tertanya-tanya, kenapa kita tidak boleh campurkan ketaatan dan keingkaran dalam satu masa. Pasti ada yang tertanya-tanya, kenapa kena ambil Islam sahaja, tidak boleh ambil dari yang lain. Maka, di sinilah papan putih, satu titik dan dua garis ini memainkan peranannya” Jari telunjuk Irfan mengetuk papan putih.

“Baik lah, lawan kepada Islam adalah kemungkaran. Jadi kita tulis Islam pada garis atas, dan kemungkaran pada garis bawah”

Asid pun menulis mengikut kata-kata Irfan. ISLAM ditulis pada garisan bahagian atas, manakala INGKAR ditulis pada garisan bahagian bawah.

“Katakanlah kita semua ini berada di tengah-tengah, pada tempat titik itu berada” Irfan menunjuk pada titik tengah.

“Katakanlah saya mengambil Islam…”

Asid melukis satu garis dari titik tengah menuju ke arah garisan ISLAM.

“Lihat, secara automatiknya, kita telah meninggalkan kemungkaran” Irfan menunjuk pada titik baru, pada hujung garisan yang baru sahaja Asid lukiskan.

“Tetapi, andai kita ambil kemungkaran, kita hendak ingkar kepada Allah SWT, kita hendak buat maksiat, maka…”

Asid pun melukis satu garis, dari titik tengah yang asal tadi, ke arah garisan INGKAR.

“Secara automatiknya, kita telah meninggalkan Islam itu sendiri” Irfan menyambung bicara, sambil menunjuk pada titik baru pada hujung garisan yang Asid lukiskan.

“Sebab itu, dalam hidup kita, kita tidak boleh mencampurkan Islam dengan anasir-anasir yang Allah larang.” Asid menambah.

“Dua perkara yang tidak mungkin bergabung dalam satu masa adalah…” Irfan memandang Asid.

“Mencintai Allah, dan pada masa yang sama, mencintai apa yang dilarang oleh Allah SWT” Asid menyempurnakan.

“Rasanya Asid, setakat ini sahaja mungkin rancangan kita hari ini”

Asid mengangguk, kemudian memandang kamera. “InsyaAllah, bertemu lagi pada minggu akan datang”

“Salam sayang daripada kami, Asid dan Irfan” Irfan melambai tangan.

“Semoga Allah redha dengan kita, dan mengizinkan kita menjadi hamba-Nya yang baik”

“Assalamu’alaikum” Asid dan Irfan mengucapkan salam.

Punat kamera ditekan. “Done!” Ikhwan Subberi mengangkat ibu jari.

Asid dan Irfan tersenyum. “Terima kasih Ikhwan. Susahkan enta lagi”

“Tak ada hal la” Ikhwan segera menghantar file rakaman tadi ke dalam lap topnya. Rakaman tadi akan diupload ke dalam internet seterusnya disiarkan melalui Youtube.

Asid dan Irfan telah melaksanakan perkara ini semenjak tahun lepas, tazkirah santai sekitar 5-7 minit, menyampaikan perihal ketaatan kepada Allah SWT dan hidup dengan mengambil sistem Islam. Sambutan terhadap rakaman ini amat menggalakkan.

Pelbagai komen membina diterima daripada pelbagai jenis penonton. Malah, ada yang menyatakan betapa mereka terkesan dengan penyampaian yang diberikan.

“Inilah antara tugas kita sebagai hamba Allah. Yakni menyebarkan deen-Nya” Irfan menepuk belakang Ikhwan.

Ikhwan terangguk-angguk. Dia faham akan hal itu. Sebab itu dia juga berusaha menyumbang dengan membantu Irfan dan Asid. Hendak memberikan penyampaian seperti mereka berdua, Ikhwan tidak mampu. Maka dia berusaha dengan apa yang dia mampu.

“Rating penonton makin tinggi nampaknya” Asid memandang sahaja dari tempat duduknya tadi.

“Alhamdulillah. Semoga Allah redha dengan usaha kita. Sambil kita baiki diri, kita ajak orang lain” Irfan memulangkan segala puja puji kepada Allah.

Asid tersenyum. Untung mendapat sahabat seperti Irfan. Sentiasa mengajak diri untuk taat kepada Allah dalam apa jua keadaan. Dari kecil, Irfan memang sedemikian. Sebab itu, Asid merasakan bahawa Irfan adalah hadiah Allah kepadanya.

“Macam mana dengan MHS kita sesi kali ini Ikhwan?” Asid memandang Ikhwan yang sedang tekun mengupload rakaman tadi.

Ikhwan mengangkat ibu jari. “Overall, bagus dan memberangsangkan. Nampaknya, MHS kali ini boleh dikatakan lebih baik dari yang lepas”

“Bagus, ummat Islam perlulah meningkat. Lebih baik dan lebih baik lagi. Tidak boleh statik.” Irfan tersenyum senang mendengar berita itu.

Asid dan Irfan hanya terlibat membantu persediaan sahaja. Hal ini kerana, mereka berdua sudah mula sibuk dengan pengajian masing-masing. Walaupun sekarang masih lagi di awal semester, Asid telah mula menjalani praktikal yang memerlukannya berada di klinik gigi berdekatan. Manakala Irfan pula menghadapi tahun akhir, perlu serius sedari awal.

Namun atas rasa tanggungjawab, mereka tetap turun membantu persediaan. Pada mereka, itu sahajalah yang mampu mereka sumbangkan. Walaupun berulang kali Baha berpesan mereka berdua tidak perlu membantu, Irfan dan Asid tetap turun padang, malah bersungguh-sungguh meringankan beban semua orang dalam melaksanakan Minggu Haluan Siswa.

Tidak hairanlah mereka berdua disegani dan dihormati. Syakhsiah mereka benar-benar menggamit hati.

“Dah siap. Dah ada di Youtube” Ikhwan menolak tubuhnya menjauhi laptop. Asid dan Irfan memandang. Rakaman mereka tadi sedang disiarkan.

“Alhamdulillah.”

“Terima kasih banyak wan”

“Ala, sikit je ni.”

Asid dan Irfan tersenyum. Bukannya mereka tidak boleh upload sendiri, namun keadaan internet di Jordan tidak membenarkan rakaman itu diupload dengan cepat. Hal ini kerana, internet di rumah Asid dan Irfan hanya 2GB. Tetapi internet di rumah Ikhwan adalah 8GB. Ikhwan yang menawarkan internetnya untuk digunakan, untuk memudahkan rakaman itu diupload ke internet.

“Em, abang Irfan, abang Asid, berkenaan MHS kali ini, walaupun semuanya berjalan lancar, kami dapat mengesan beberapa pelajar bermasalah”

Asid dan Irfan duduk semula. “Oh, berapa ramai?”

“Yang bermasalah tu, ada la dalam 10 orang, tetapi yang benar-benar bermasalah sehingga dirasakan boleh mengancam, itu kami dapat kesan 5 orang”

“Kenapa dirasakan sehingga boleh mengancam? Macam askar serbia terlepas sini je gayanya” Asdi berseloroh.

Irfan tersenyum menggeleng kepala. Ini pun boleh jadi lawak kalau dengan Asid.

“Hem, macam-macam juga la mereka lakukan dalam MHS baru-baru ini. Ganggu Fasi dan ada sekali tu, hampir sahaja merosakkan perjalanan program. Entah macam mana, mereka boleh break id urusetia dan sebarkan kepada peserta bahawa program dibatalkan. Hari itu, hampir sahaja semua peserta tak datang program. Mujur Saiful Hadi dapat kesan.”

“Wah, hebat. Mereka ada pakar komputer juga?” Asid tertarik.

Ikhwan mengangguk. “Mereka nampak macam budak-budak genius”

Irfan mendengar dengan tekun.

“Mereka gelar diri mereka Disaster Five”

Asid dan Irfan diam. Tiada komentar selepas mendengar nama itu.

“Ini lah yang Baha kata hari itu” Asid mencuit Irfan.

Irfan mengangguk-angguk. Kemudian dia tersenyum nipis.

“Maka, ini adalah cabaran yang menarik. Mereka perlukan kita”

“Perlukan kita?” Ikhwan tidak faham. Buat huru hara pun perlukan orang lain? Biasanya kaki pembuat huru hara ni tak perlukan orang lain.

“Mereka perlukan kita untuk sampaikan kebenaran kepada mereka. Mereka perlukan kita untuk didik hati mereka. Mereka perlukan kita untuk mengubah mereka” Irfan mengenggam tangannya.

“Kalau macam itu, kita kena susun rancangan kita untuk dekati mereka”

Irfan mengangguk.

“Ikhwan, kita itu, bukan kami berdua sahaja” Irfan memandang Ikhwan.

Ikhwan tersenyum. “Termasuklah saya, dan seluruh warga PERMAI”

“Good” Asid mengangkat ibu jari.

Mereka bertiga tersenyum sesama sendiri. Suasana di bilik Ikhwan itu terada damai.

****

Syafiq memandang video itu dengan tidak berkelip. Erman juga sama.

“Mantap la penyampaian mereka!” Erman memuji.

Syafiq terangguk-angguk dalam kagum. Mereka baru sahaja menonton video Asid dan Irfan, menyampaikan tazkirah santai bertajuk “Kenapa tidak boleh Juz’i-juz’i”

Walaupun baru sahaja disiarkan, video itu sudah menerima kunjungan dari ratusan orang. Malah, sudah ada sekitar 100 komen di bahagian komentar.

“Aku macam tak percaya, aku sekarang belajar dengan senior yang macam ini” Erman memandang Syafiq.

“Abang Asid tu ambil dentistry macam aku tu” Syafiq bangga.

“Kau yang ambil dentistru macam dia. Appa la” Erman menolak tubuh Syafiq. Mereka berdua ketawa.

“Ha, kalau korang nak tahu, diorang berdua ni siap dapat tawaran lagi dari Astro” Abang Baha, yang menonton video itu bersama mereka berdua mencelah.

“Betul ke?” Syafiq tidak percaya.

Abang Baha mengangguk. “Tapi mereka berdua tolak. Sebab mereka hendak menumpukan pada pelajaran mereka”

“Rugi la” Erman bernada kecewa.

Abang Baha menggeleng. “Apa yang ruginya? Mereka terus studi rajin, dapat skor tinggi-tinggi. Nanti bila balik Malaysia, tetap orang Astro panggil. Ini namanya tawazun.”

“Tawazun tu apa?” Syafiq memandang Erman.

“Seimbang. Maksudnya, yang dikejar dapat, yang dikendong tak berciciran”

“Oh…” Syafiq memandang semula ke skrin komputer Abang Baha.

Rumah pelajar tahun satu, belum ada internet lagi. Urusan untuk mendapatkan internet di Negara Jordan ini kadangkala memakan masa sehingga sebulan. Hal ini kerana, urusan di sini masih tidak sesistematik di Malaysia. Hari ini, Abang Baha yang mengajak mereka berdua datang ke rumah untuk menunjukkan video Asid dan Irfan.

“Ada banyak lagi video mereka berdua ni. Kau boleh tengok satu-satu bila rumah dah ada internet nanti”

Syafiq dan Erman mengangguk. Memang, mereka akan tonton satu-satu. Video yang satu ini sahaja sudah berjaya membuatkan hati mereka tertarik. Kagum bagaimana dua insan berlainan bidang boleh berkolaborasi dalam menyampaikan agama Allah SWT.

“Yang mengikat hati-hati kita adalah iman. Bukannya bidang, bukannya warna kulit, bukannya umur”

Itu penyampaian Abang Baha. Ketika itu dia memberikan tazkirah berkenaan ukhuwwah semasa MHS. Di akhir tazkirahnya, Abang Baha berkata:

“Semua yang aku sampaikan ini, aku ambil dari kata-kata Abang Irfan kita. Tak kurang satu huruf, tak lebih satu huruf. Moga hati-hati kita dapat menyerap intipati penyampaian ini, dan kita semua dapat hidup dalam keadaan permai, penuh keimanan dan ketaatan kepada Allah SWT, sesama kita”

Ternyata, manusia yang bernama Irfan dan Asid ini mampu memberikan kesan yang mendalam kepada masyarakat di sekelilingnya. Jika tidak, masakan penyampaian Irfan akan diguna pakai sekali lagi oleh Abang Baha, yang merupakan Presiden PERMAI yang baru?

Malah, kesan penyampaian itu seakan-akan hidup dalam hayat ahli PERMAI di sini. Hal ini boleh dilihat dari gaya Abang Baha melayan mereka berdua. Abang Baha, Presiden PERMAI, tidak kekok mengajak pelajar tahun satu melepak di biliknya. Mungkin pemahaman Abang Baha akan ukhuwwah diikat dengan iman itu, membuatkan dia tidak merasakan dirinya lebih dari orang lain. Di sini, timbulnya kerendahan hati.

Syafiq dan Erman kagum. Kagum dengan apa yang berjaya dilakukan oleh Asid dan Irfan.

“Assalamu’alaikum,” Satu suara kedengaran di balik pintu bilik Abang Baha. “Baha” gelarannya diseru.

“Masuk, masuk” Abang Baha mempersilakan.

Pintu bilik terbuka. Syafiq dan Erman memandang ke muka pintu. Kelihatan Naqeb melangkah masuk.

“Maaflah ganggu Baha. Ni ada urusan urgent” Naqeb terus duduk di hadapan Abang Baha. Dia membawa fail yang agak tebal.

Naqeb adalah setiausaha PERMAI sesi kali ini. Dia yang menguruskan pelbagai urusan surat menyurat, dan membuat minit-minit mesyuarat. Dia juga memegang data pelajar-pelajar melayu yang menuntut di Yarmouk dan JUST.

“Apa yang urgent sangat?” Abang Baha kehairanan.

“Maklumat Disaster Five, classified”

Mata Abang Baha membesar.

“Classified?”

“Disaster Five?” Erman dan Syafiq memandang dua senior itu.

“Macam mana boleh classified? Gaya macam agen CIA je” Abang Baha mengurut janggutnya yang sedikit panjang.

“Tu la, aku pun hairan juga.”

“Hem… Susah la kalau Classified. Macam mana kita hendak berurusan dengan keluarga mereka, atau hendak bertanya guru-guru mereka berkenaan mereka?”

Naqeb mengangguk. Setelah mereka melihat ‘kebuasan’ Disaster Five di MHS, Ahli Majlis Mesyuarat(AMM) PERMAI telah membuat keputusan untuk menghubungi kenalan-kenalan, keluarga Disaster Five di Malaysia untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan mereka. AMM PERMAI mengambil keputusan untuk bertindak pantas. Namun tidak sangka bahawa Disaster Five lebih pantas lagi.

“Aku tak rasa mana-mana kerajaan dunia ni yang classifiedkan data mereka. Aku rasa, ini mesti kerja mereka juga” Abang Baha membuat telahan.

“Memang pun. Ada antara mereka yang nampaknya pakar dalam komputer. Sampai id e-mail kita pun mereka boleh hack masuk”

“Hem… Susah ni” Abang Baha memandang Syafiq dan Erman.

“Ei, maaflah, korang kena dengar masalah ni.” Abang Baha menepuk bahu Erman yang paling dekat dengannya.

“Eh, tak mengapa.” Erman menenangkan.

“Fasal Disaster Five ni, kami yang satu bacth pun tak kenal dengan mereka. Tahu nama sahaja. Diorang berlima tu mengasingkan diri dan tidak bercampur dengan yang lain.” Syafiq memberitahu.

Abang Baha mengangguk. Dia memandang Naqeb. Naqeb tidak mampu berkata apa-apa. Dia juga ketandusan idea untuk menangani Disaster Five.

Disaster Five buat masa ini belum lagi melakukan sesuatu yang kritikal dan mencemarkan imej melayu di Jordan. Namun berdasarkan tindakan mereka di MHS tempoh hari, AMM PERMAI menjangkakan bahawa Disaster Five adalah satu ancaman dan perlu dibendung agar mereka tidak merosakkan imej pelajar malayu di Jordan ini.

“Baiklah, kita akan panjangkan perkara ini dalam mesyuarayt AMM. Buat masa ini, mungkin kita khali dulu. Mereka pun sekarang tak buat hal lagi. Mungkin aku akan jumpa dengan Abang Irfan, tanya dia macam mana nak urus hal ni”

“Aku dengar, Ikhwan dah ada luah pada mereka”

“Ha, cantik la tu. Abang Irfan cakap apa?”

“Dia suruh AMM PERMAI buat ziarah ke rumah Disaster Five”

“Ha?” Abang Baha terkejut.

Syafiq dan Erman juga terpempan.

“Abang Asid siap tambah lagi, AMM PERMAI kena bawa hadiah dan jamu mereka makan”

Ziarah? Bawa hadiah? Jamu makan?

Kepada Disaster Five yang buat huru-hara?

“Kenapa?” Abang Baha bertanya, dan ayat itu juga yang hampir terkeluar dari mulut Syafiq dan Erman.

“Mereka berdua kata, objek dakwah adalah hati, bukannya fizikal”

Dan jawapan itu membuatkan empat orang di bilik Abang Baha itu senyap.

Syafiq dan Erman memandang komputer Abang Baha. Gambar kaku Asid dan Irfan masih terpapar di situ, pada tetingkap Youtube.

Macam mana kah dua orang manusia ini berfikir?

Erman terdetik dalam hati.

****

“Aya, kita sudah terkenal ma…” Dis three meniru pelat orang cina.

“Hu hu, huru hara dibuatnya tempat ni” Dis Two memandang semua teman-temannya.

“Dengar kata, AMM PERMAI macam kena langgar taufan bila tahu kita punya data classified” Dis Four tersenyum sumbing.

“Benda senang macam itu pun diorang nak kecoh. Hujung jari aku je” Dis Five memetik jemarinya.

Dis One tersenyum puas. Kehidupan di sini memang menyeronokkan. Mereka boleh lakukan apa sahaja sesuka hati mereka. Tiada peraturan, tiada pengawas. Pemimpin pelajar di sini pun tiada autoriti sehebat pengawas sekolah untuk memperapa-apakan mereka.

Bebas!

Itu adalah kalimah yang sesuai menggambarkan keadaan mereka sekarang. Tangan dan kaki mereka seakan menjadi lebih panjang dari biasa. Ditambah pula dengan kemudahan internet dan komputer sepanjang masa, mereka kini boleh dikatakan mampu melakukan apa sahaja. Tidak perlu lagi tergesa-gesa berurusan dengan komputer di makmal sekolah yang dipecah masuk.

“Agak-agak apa planning kita lepas ini?” Dis One memandang ahli rumahnya.

“Kita nak cuba pecah masuk Bank di Jordan tak? Boleh dapat banyak duit”

“Itu cadangan yang baik”

“Mungkin kita boleh pasang kamera di rumah pelajar perempuan”

“Hu hu, dasyat idea kau. Nak tengok apa?”

Dis Two angkat kening dua kali. Semua Disaster Five ketawa.

“Kita bagi kucar kacir data pelajar dalam PERMAI ni, mantap juga. Yang Yarmouk datanya masuk dalam JUST, yang JUST datanya masuk Yarmouk”

“Ha, menjadilah apa yang dicita-citakan semua, Doktor yang faham Islam, dan Ustaz yang tahu Sains”

Gamat rumah itu dengan tawa. Mereka benar-benar tiada kerja. Hanya tahu buat kekacauan. Otak yang bijak tidak digunakan pada tempat yang sepatutnya.

“Tapi, mengikut Secret, sebelum kita lakukan pelbagai perkara di sini, kita perlu tumbangkan halangan utama kita” Dis One bersuara.

“Halangan utama? Siapa? PERMAI?”

Dis One menggeleng.

“Dia adalah…”

Ting tong, ting tong. Bunyi loceng rumah kedengaran.

“Eh, siapa pula yang potong kata-kata aku ni?” Dis One sedikit berang. Dia pantas menuju ke arah pintu.

“Siapa?”

“Abang Irfan”

Mata Dis One membesar. Dia memandang ahli Disaster Five yang lain.

“Dengan Bro Asid” Satu lagi suara lain kedengaran.

Semua ahli Disaster Five terkejut.

“Kami datang nak ziarah.”

Tambah mengejutkan.

Itulah halangan untuk Disaster Five, yang diberitahu oleh Secret, yakni tetamu misteri mereka tempoh hari. Kini halangan itu sudah mula bergerak.

Buku bertemu dengan ruas.

Print This Post Print This Post

9 Comments

  1. alin alin says:

    salam…

    tahniah!!
    cerpen yang mantap !!
    tak sabar nak tunggu episod yang seterusnya….
    sambil study sambil baca cerpen nta…hehe :grin:

    p/s :doakan saya yer nak trial spm 1 sept niy…

    [Reply]

  2. greenapple says:

    mabruk!!

    [Reply]

  3. sakura says:

    memperkembangkan minta…mabruk
    x sabar nk tunggu cerita seterusnya..
    ada sambungankan???

    [Reply]

  4. sakura says:

    *minda…

    [Reply]

  5. kiraryuk says:

    mantap!!
    x sabar nk tahu kisah selanjutnya..

    p/s: baru habis baca buku langit ilahi yg dibeli tempoh hari..bagus buku tu..

    [Reply]

  6. za-zahra says:

    tahniah…
    ianya sesuatu yang menyeronokkan..
    pendekatan yang halus untuk menarik hati-hati yang kehilangan..
    tema yang sesuai untuk dakwah..
    bila ada kesedaran terjadilah perubahan..
    amiiin..

    [Reply]

  7. srikandi dataran syam says:

    salam,menarik sgt2..x sabar nk tunggu episod seterusnya…episod satu nie je dh memberi satu gmbrn dakwah & tarbiyah…alhmdulillah…truskn usaha enta hilal..akk sntiasa mendoakan enta…

    [Reply]

  8. Hilal Asyraf laksamana says:

    -kepada alin,
    Semoga Allah permudahkan segala urusan kamu Alin.

    -kepada greenapple,
    Terima kasih…

    -kepada Sakura,
    Ada, jangan risau. Tunggu sabtu depan ya.

    -kepada kiraryuk,
    Alhamdulillah, Allah izinkan kamu baca Langit Ilahi. Semoga Allah Redha. Tunggu la sambungan Sinergi Sabtu depan ya.

    -kepada az-zahra,
    Alhamdulillah. Semoga Allah berikan kita istiqomah dan kefahaman.

    -kepada srikandi dataran syam,
    Alhamdulillah akak. Terus menembak doa ya. Tunggu episod seterusnya pada sabtu hadapan.

    ~Saudara kamu,
    Hilal Asyraf

    [Reply]

  9. imansyauqina imansyauqina says:

    salam.. rasa bersyukur jika asid dan irfan ‘HIDUP’ di kalangan kita… pemuda islam yang benar2 hidup

    [Reply]

Leave a Reply