Langit Ilahi Rotating Header Image

Sinergi - Cerita 2: Cinta-cinta itu

Sinergi... satu ditambah satu menghasilkan tiga...

Sinergi... satu ditambah satu menghasilkan tiga...

Alhamdulillah, akhirnya Sinergi bab 2 muncul…

Enjoy it!

Cerita 2:

Cinta-cinta itu

Bibir Irfan menggaris senyuman. Kemudian dia menggeleng kepala. Seakan teringat sesuatu yang melucukan.

“Apa tersenyum-senyum ni bro? Sampai geleng-geleng kepala” Asid menyapa. Dia agak hairan melihat Irfan tersenyum sendirian di ruang tamu.

“Macam mana praktikal? Seronok?” Irfan bertanya.

“Orang tanya dia, dia tanya orang pulak” Asid menggeleng kepala. Dia terus membancuh teh. “Ok aja. Seronok tu seronok la. Pengalaman baru kan. Medan teori dengan medan praktis ni lain”

Asid merapati Irfan, kemudian meletakkan teko air yang berisi teh o di atas.

“Ha, teringat apa tadi sampai tersenyum-senyum. Teringat mak we ke?”

“Tak adalah, teringat akan lima pelajar tahun satu semalam” Irfan mengambil cawan.

“Panas lagi tu” Asid mengingatkan. Irfan tidak jadi mengambil cawan.

“Disaster five ke?” Asid meminta kepastian.

“Ish, tak baik panggil diorang disaster”

“Dah diorang yang namakan kumpulan diorang macam tu”

“Kata-kata adalah doa. Mereka yang menamakan, itu urusan mereka. Kita, kena doakan yang baik-baik sahaja pada mereka. Sebut yang baik-baik sahaja”

Asid tersengih. “Kau ni, baik sangat la”

Irfan terus dengan senyumannya yang tidak lekang. Wajahnya menyenangkan.

“Dari gaya sembang semalam, nampaknya mereka itu tak la menyenangi kita sangat” Asid membuat konklusi.

“Badruddin Jamil, Yusuf Erham, Wafiq Wasim, Muiez Iskandar, dan Harith Farhan. Rasa kelakar pula bila teringat sembang-sembang semalam” Irfan terus mengukir senyuman.

Gaya lima pelajar tahun satu itu menerima kedatangan mereka memang melucukan. Nampak tidak senang duduk langsung. Seakan-akan lima orang itu hendakkan dia dan Asid balik segera.

“Aku rasa, diorang tu ada masalah la. Sebab itu diorang suka timbulkan masalah” Irfan memandang Asid. Kali ini tangannya digerakkan untuk mengambil cawan berisi teh. Sudah tidak berapa panas.

“Hem, betul. Aku tengok gaya mereka, aku tahu dah mereka ada masalah” Asid turut mengambil cawan.

Kedua-dua mereka meneguk teh. Teh o memang enak dimakan pada waktu malam sebegini. Ibarat supper di asrama.

“Kau ada idea tak nak berurusan dengan mereka?”

Irfan menggeleng. “Tak tahu lagi macam mana. Kita tak taaruf habis lagi dengan mereka”

“Nampaknya, buat masa ini, kita tunggu dan lihat sahaja la”

Kedua-dua sahabat itu senyap sebentar. Bunyi angin masuk ke rumah kedengaran. Irfan terus menghirup air teh.

“Kita rilek-rilek aja. Jangan terlalu asyik fikir fasal diorang macam diorang tu penjenayah besar”

Asid mengangguk setuju. “Kalau nanti diorang benar-benar bermasalah, dan membawa masalah, insyaAllah kita akan cuba selesaikan”

“Exacta!” Irfan memetik jari, mengucap kata-kata ‘benar’ dalam bahasa Spanish.

“Nak ajak manusia jadi baik, nak selesaikan masalah kehidupan manusia, kena ada seni. Tak boleh menyondol” Irfan menyambung.

“Sodaqta” Asid pula memetik jari, mengucap kata-kata ‘benar’ dalam bahasa arab.

Irfan terus menghirup air teh. Asid juga demikian. Kedua-dua mereka membiarkan diri dibelai angin malam yang menerobos masuk melalui tingkap. Rumah mereka yang berada di tingkat empat, membuatkan rumah mereka agak nyaman ditiup angin.

Kedua mereka sudah seperti adik beradik. Sentiasa bersama, sentiasa berkongsi pelbagai perkara. Mereka berkenalan semenjak sekolah rendah. Tetapi mereka terpisah apabila masuk ke sekolah menengah. Tanpa disangka, mereka bertemu semula di Jordan. Itu membuatkan mereka tambah menghargai hubungan antara mereka.

Irfan sememangnya sudah agak matang semenjak sekolah rendah. Asid yang ketika itu merupakan pelajar bermasalah, menerima banyak bimbingan daripada Irfan. Mereka berpisah apabila Irfan mendapat tawaran menyambung pelajaran di sekolah berasrama penuh dan Asid pula hendak meneruskan pelajaran di tempat asal. Mereka hanya berhubung melalui Yahoo Messenger, telefon dan facebook. Tidak pernah bersua muka sepanjang perpisahan itu.

Pertemuan mereka di Jordan memang tidak disangka-sangka. Asid dan Irfan masing-masing tidak memberitahu bahawa mereka menyambung pengajian di Jordan. Asid seakan-akan hendak menjerit kegembiraan apabila melihat Irfan ada di MHS. Ukhuwwah mereka kembali terjalin.

Bertemu semula dengan Irfan setelah sekian lama, banyak perubahan telah berlaku. Irfan nampak jauh lebih matang, dan membawa sesuatu yang baru bersamanya. Yakni dakwah dan tarbiyah. Irfanlah yang mengenalkan kepada Asid akan usrah, serta perkara-perkara yang bersangkut paut dengan dakwah dan tarbiyah.

Sebab itu, mereka berdua amat menghargai persahabatan mereka. Persahabatan yang didirikan atas dasar keimanan kepada Allah SWT.

“Sahabat itu, adalah mereka yang mampu mengajak kita kepada Allah SWT”

Itu antara kata-kata Irfan yang diingati oleh Asid. Dan sekarang, mereka masing-masing berusaha menjadi sahabat itu.

“Aku ni, bukan apa sebenarnya. Aku teringat akan kes tahun lepas”

Irfan senyap.

“Aku tak mahu la jadi macam itu lagi. Boleh trauma kita dibuatnya. Harapnya, benda macam itu kita boleh prevent dari awal.”

Irfan menghela nafas. Ya, tahun lepas memang agak pahit. Kalau boleh, dia memang tidak mahu itu berulang. Wajah Irfan yang ceria tadi, menjadi sedikit muram. Senyumannya terus kendur.

“InsyaAllah, kita akan usaha. Mereka berlima itu akan kita jaga dari awal” Irfan cuba bertenang.

Suasana jadi sepi semula. Air teh sudah habis diminum. Melihat wajah Irfan yang sedikit muram, Asid terasa serba salah pula mengungkit peristiwa tahun lepas. Peristiwa hitam untuk mereka berdua.

“Ei Irfan” Asid memecah sepi.

“Em?” kening sebelah Irfan terangkat. Apa dia?

“Uhibbukafillah”

Terkoyak senyum Irfan. Terasa kasih sayang Asid tumpah kepadanya.

“Wa ana kaman”

Melihat Irfan senyum semula, hati Asid secara automatik menjadi lapang.

Manusia itu hidup mereka tidak sempurna. Sempurnanya mereka apabila mereka bersama-sama lengkap melengkapi. Hendak lengkap melengkapi itu, perlukan kesefahaman. Kesefahaman itu hadir daripada keimanan. Iman manusia sumbernya satu. Yakni Allah SWT. Dari situ, mereka menggerakkan hubungan mereka, kehidupan mereka ke arah yang lebih baik.

Ini adalah satu cinta.

Namun tidak ramai manusia memahaminya.

Tidak ramai manusia, yang merasainya.

****

Dia melihat abangnya berlari menaiki anak tangga.

Di belakang abangnya, terdapat dua orang manusia yang sedang mengejar dengan penuh kesungguhan. Abangnya terus berlari dan berlari, hendak menyelamatkan diri dari diperapa-apakan.

Akhirnya abangnya sampai ke bumbung bangunan.

Bangunan di negara arab, bumbungnya rata. Tidak berbentuk tirus seperti di Malaysia. Abangnya terus berlari hinggalah dia terhalang di hujung bangunan. Abangnya tersepit. Di hadapannya tiada lagi tempat untuk melarikan diri, manakala di belakangnya pula terdapat dua orang yang sudah bersedia untuk menangkapnya.

Abangnya terus diterkam. Memandangkan dua orang lelaki itu amat tangkas dan cekap, abangnya tidak mampu melawan. Abangnya ditumbuk dan ditendang bertalu-talu. Setelah berulang kali ditumbuk tendang, mulut abangnya mula mengeluarkan darah. Mungkin organ dalaman abangnya sudah mula tercedera.

Abangnya terjelepuk jatuh selepas ditumbuk tendang berulang kali. Salah seorang dari dua lelaki tadi mencekik leher abangnya, kemudian mengangkat tubuh abangnya itu dengan kedua belah tangan. Perlahan-lahan lelaki itu berjalan ke tepi bangunan. Lelaki itu menyuakan tubuh abangnya ke luar kawasan bangunan. Abangnya kini tiada tempat berpijak.

“Mati!” Kata lelaki itu dengan dingin, seraya melepaskan tangan.

Abangnya jatuh dari bangunan.

Dan…

“Abang!” Dia terbangun. Berpeluh. Nafas turun naik.

Matanya membesar. Mimpi itu datang lagi.

Panas. Hatinya panas. Kedua tangannya digenggam erat.

“Celaka, celaka kau berdua” Dia menumbuk tilam.

Marah.

Mimpi abangnya mati dibunuh datang lagi. Entah buat kali ke berapa.

Dendamnya menggunung tinggi. Datangnya ke tanah Urdun ini, untuk membalas dendam itu. Dia hendak melunaskan dendam yang membebani kehidupannya. Dendam yang sudah menjadi seperti saka. Merosakkan jasad dan rohaninya.

“Jangan ingat, kau buat langkahan awal, kau akan terlepas!” Dia bersuara dalam keadaan nafasnya turun naik.

Dia sudah berjumpa dengan dua orang itu. Kini, dia sedang merangka pelbagai rancangan. Antaranya adalah mempergunakan Disaster Five, perosak alam, penjenayah besar sekolah dari sebuah sekolah di Malaysia.

Namun, dua orang itu telah bergerak dengan lebih awal, untuk melumpuhkan rancangannya.

“Tapi kau belum berjaya…” Dia bertenang semula. Nafasnya semakin lama semakin stabil.

Dia yakin yang Disaster Five tidak mudah tumbang. Dia kenal akan Disaster Five, dan kegelapan yang ada dalam kehidupan mereka berlima. Mereka berlima tidak akan mudah terpedaya.

“Rasyid Zakwan, Irfan Hakimi, kau tak akan terlepas.”

Sumpah dimeterai. Sumpah amarah tiupan syaitan.

Dalam cuaca Jordan yang semakin sejuk, bilik gelap tanpa cahaya itu menjadi hangat dengan kemarahan penghuninya.

Cinta kepada saudara, hingga tidak mampu menerima kehilangannya. Menimbulkan dendam yang tidak terhingga. Akhirnya cinta itu memakan dirinya.

****

Asid bergerak turun dari suq balad. Dia hendak menuju ke tempat menunggu bas. Dia perlu turun dari suq balad, merentas duar kurrah, kemudian baru dia sampai ke destinasi. Kedudukan suq balad yang berada di atas bukit, membuatkan Asid perlu bejalan jauh sedikit untuk mendapatkan bas pulang ke syari’ jami’ah.

Asid menggendong plastik-plastik berisi barang rumah. Ayam, bawang, cili, kobis bunga dan beberapa lagi bahan masakan yang lain.

Hari ini dia seorang sahaja ke balad. Biasanya, dia akan bersama dengan seorang lagi teman serumah. Namun hari ini, dia sahaja yang lapang. Irfan pada hari ini perlu bertapa di perpustakkan Yarmouk kerana pensyarahnya memberikan assignment. Biasa la, sudah tahun akhir.

“Nasib baik musim panas dah nak dekat habis. Kalau tak, ha, jadi ayam panggang aku” Asid berbicara sendirian sambil mendongak. Dia terus melangkah. Sudah sampai ke duar kurrah.

Kalau malas naik coaster, boleh sahaja dia menahan teksi di duar kurrah ini. Tapi, dia lebih senang menaiki coaster untuk pulang. Lebih murah, dan dia memang lebih suka naik coaster.

Tiba-tiba matanya menangkap kelibat seseorang yang dikenalinya.

“Sara?”

Perempuan melayu bertudung labuh krim, berjubah maxi, sedang menunggu di duar kurrah bersama beberapa buah plastik. Namun plastik-plastik itu kelihatan berat kerana semuanya nampak agak besar. Asid kenal akan perempuan itu, Sara Nasuha, pelajar praktikal medic, sama tahun dengannya.

“Akhawat sorang-sorang je?” Asid berbicara di dalam hati. “Banyak barang pula tu”

Asid terus berjalan. Semakin lama semakin hampir. Wajah ayu Sara terpapar dengan lebih jelas pada tubir matanya.

“Nasib baik aku waras. Kalau tak waras, aku dah kata ini bidadari” Bicara hati Asid lagi.

Sementelah di dalam hati, Asid berusaha keras melawan perasaannya yang melonjak-lonjak untuk menikmati keayuan wajah Sara. Dia berusaha menundukkan pandangannya. Dia tahu, perempuan tidak boleh dipandang lama-lama.

“Assalamu’alaikum”

Sara terus menoleh apabila mendengar salam. Dari suara sahaja dia sudah dapat mengecam bahawa pemberi salam itu adalah melayu.

Sebaik sahaja kepalanya berpusing, Sara terus terkedu senyap.

Rasyid Zakwan…

“Perlukan bantuan ke?” Asid bertanya terus kepada punca dia menegur. Tiada basa basi ala-ala mengorat perempuan yang biasa dilakukan lelaki pada umurnya.

“Ah…” Sara memandang plastik-plastik di tepinya, yang besar dan berat isinya. Dia sebenarnya ditugaskan membli barang-barang keperluan untuk majlis iftar jama’ie antara senior dan junior bagi pihak pelajar akhawat. Disebabkan beberapa hal tertentu, tiada temannya yang boleh mengikutinya. Maka, hendak tidak hendak, dia terpaksa seorang diri membeli semua barang.

“Kamu pun penuh” Sara memandang plastik-plastik di tangan Asid.

“Ini?” Asid mengangkat plastik-plastik di tangannya. “Tak ada masalah. Kita naik teksi. Letak barang di bonet. Kemudian turun di rumah kamu dulu. Saya tolong angkat barang ke rumah.” Lepas itu, baru la Asid pulang dengan barangnya.

“Tak apa ke? Macam menyusahkan aja?” Sara jadi segan.

Asid nampak teksi tanpa penumpang. Dia terus melambai tangan menahan teksi.

“Duar iskan?” Dia bertanya kepada pemandu.

Pemandu mengangguk. “Tafaddal”

Pertanyaan Sara tadi terjawab dengan tindakan Asid. Nampaknya Asid benar-benar ingin membantu. Terus barang-barang Sara dimasukkan ke dalam bonet. Diasingkan antara plastik-plastik Sara dengan plastik-plastik miliknya.

Sara pun bergerak untuk membuka pintu belakang, namun belum sempat dia menghulurkan tangan untuk itu…

“Sila masuk” Asid sudah membukakan pintu, mempersilakannya.

Sara menundukkan wajah. Sedikit segan dilayan sedemikian.

Asid masuk. Pemandu teksi bergerak meninggalkan kawasan balad, menuju ke kawasan syari’ jami’ah, tempat kebanyakan pelajar melayu tinggal.

“Barang banyak saya tak kisah. Masalahnya kamu sorang-sorang” Asid bersuara tanpa memandang belakang.

“Ooo” Sara faham.

Siapa tidak kenal dengan Rasyid Zakwan? Presiden MPPM sesi lepas. Amat berkaliber dan cekap dalam pentadbiran. Dalam kehebatannya menguruskan organisasi besar seperti MPPM, kelembutannya terhadap rakan-rakan terserlah. Rasyid Zakwan pula amat terkenal sebagai seorang yang amat menjaga perempuan. Boleh dikatakan, sepanjang sesi dia memegang jawatan sebagai presiden MPPM, masalah yang dihadapi oleh pelajar perempuan amat kurang.

Muroqib, tempat tinggal, dan hal-hal keselamatan akhawat amatlah dijaga dan dititik beratkan.

“Kamu semua adalah bakal-bakal ibu kepada anak-anak kami”

Itu antara ayat popular yang terlafaz dari mulut Rasyid Zakwan semasa pemerintahannya.

Ini pertama kali Sara duduk dalam jarak yang amat dekat dengan Rasyid Zakwan. Sara terasa hangat. Walaupun teksi yang dinaiki memasang penghawa dingin, Sara terasa seperti dirinya berada dekat dengan api. Jantungnya berdegap-degup. Laju.

“Ish, kenapa ni?” Sara menegur dirinya sendiri di dalam hati.

Suasana dalam teksi terus sepi sehinggalah sampai ke destinasi. Tiada apa-apa bicara. Asid tidak bersuara, manakala Sara terus bermonolog dalam diri. Walaupun dia memintai Rasyid, itu tidaklah menyebabkan dia menjadi gedik mencari peluang agar Asid bersmebang dengannya. Dia ada maruah sebagai muslimah.

Sebaik sahaja sampai, Asid terus menurunkan barang-barang Sara.

“Nak saya bawa masuk sekali ke?” Asid menawarkan bantuan tambahan.

Sara menggeleng. “Tak mengapa. Saya boleh minta tolong kawan yang ada”

“Kenapa mereka tak ikut ke balad?”

“Report pesakit tak siap lagi” Sara tinggal bersama pelajar-pelajar medic praktikal yang lain.

“I see…” Asid mengangguk faham.

“Baiklah, saya pergi dulu” Asid bergerak ke arah teksi.

“Rasyid…” Sara memanggil.

Asid menoleh. Ya? Matanya berbicara.

“Terima kasih” Sara menundukkan pandangannya. Tidak mampu memandang Asid.

“Sama-sama”

Dan mereka berpisah di situ. Sara menghantar teksi itu pergi dengan matanya. Jantungnya terus berdegap-degup. Entah kenapa, ada satu perasaan sesak dalam jiwanya. Seakan-akan dia hendak lemas.

Lemas kerana tenggelam dalam lautan cinta.

Mujur, iman dan Islam menjadi pelampung yang menyelamatkannya, dan memuliakan maruahnya.

Di dalam teksi, Asid diam seribu bahasa. Teksi membawanya terus membelah jalan Syari’ Jami’ah. Destinasi seterusnya adalah belakang fondok hijazi, tempat terletaknya rumah Asid.

“Sara…” Terlafaz nama itu pada bibir.

Agak kagum dengan perawakan Sara tadi. Tidak sedikit pun bersembang lebih-lebihan. Tidak pula menyatakan yang Asid ini sombong kerana tidak berbicara banyak dengan perempuan. Tidak seperti perempuan-perempuan lain yang agak gedik untuk membuat Asid berbicara.

Sara Nasuha, dia benar-benar perempuan terjaga.

Ini pertama kali Asid berada dekat dengannya.

Ini pertama kali Asid mendapat peluang menilainya dengan lebih dekat.

Cinta pandang pertamanya, yang dia juga tidak memahami bagaimana perempuan bernama Sara itu boleh menarik hatinya. Akhirnya hari ini, dia faham kenapa.

Perempuan itu benar-benar mempunyai akhlak yang baik dan amat terjaga peribadinya.

“Sabar Asid, sabar. InsyaAllah, Allah tak akan kecewakan kita” Asid menenangkan hatinya, yang memaki-maki dirinya kerana dia tidak mengambil peluang untuk beramah mesra dengan Sara tadi.

Dia menjaga perhubungan antara lelaki dan perempuan sebenarnya.

Dia tidak boleh, hanya kerana cinta kepada manusia, menggadaikan cintanya kepada pencipta manusia.

Itu juga satu cinta.

****

“Kenapa nampak tak bersemangat je ni Irfan?”

Irfan mengangkat wajah. Kelihatan Nadzeem, pelajar tahun tiga di Yarmouk, namun dia sebenarnya sudah hampir empat tahun berada di sini. Sistem pembelajaran di Yarmouk yang tidak terikat dengan tahun, membuatkan ada ramai sahaja pelajar yang belajar di sini selama 7-8 tahun,

“Nadzeem…” Irfan menundukkan wajahnya semula. Kitab Muqaronatul Adyan dipandangnya.

Nadzeem melandas di tempat duduk sebelah Irfan.

“Kau ni, masih teringat dengan peristiwa tahun lepas ke?”

Irfan menghela nafas. “Mana kau tahu aku fikir benda tu?”

“Ya la, apa la dalam dunia ni yang boleh buat muka kau monyok macam tu”

Irfan tersengih. Ya, dia tidak pernah takut, gentar, risau teramat sangat dalam hidupnya. Hidupnya selama ini adalah kehidupan yang tenang. Segala masalah dilalui dengan baik. Tarbiyah islamiyyah yang dilaluinya membuatkan dia faham bagaimana hendak ‘berkomunikasi’ dengan masalah-masalah yang mendatang.

Tapi, peristiwa tahun lepas agak berat untuknya.

Melibatkan kehilangan nyawa seseorang.

Belakang Irfan ditepuk oleh Nadzeem. “Kau jangan la risau sangat Irfan. Yang berlalu tu berlalu la”

“Ya, Cuma aku risau akan ada orang ikut jejak dia itu”

“Disaster five?”

“Jangan panggil disaster la”

Nadzeem hendak tergelak mendengar teguran Irfan. “Habis, kau nak aku panggil budak-budak tu apa?”

“The five light boleh?”

Nadzeem ketawa lebih kuat. “Kau ni memang la Irfan” Dia menolak bahu Irfan.

“Kau jangan risau la. The light five ko tu, insyaAllah tak akan jadi seteruk dia. Kes yang sama tak akan berulang. Kali ini, kita sama-sama jaga” Tangan Nadzeem memegang erat bahu Irfan.

Irfan tersenyum. “Terima kasih Nadzeem.”

“No hal la bro”

Suasana tingkat satu kuliah Syari’ah Yarmouk mula sesak. Sekarang waktub pagi. Kuliah akan bermula pada pukul 8.00.

Irfan terus tunduk.

The light five tu, ujian untuknya juga kah?

Ya Allah, jangan kau duga aku dengan apa yang aku tak mampu… Hatinya berharap.

“Ei, doktor datang” Nadzeem menepuk bahunya.

Kelihatan Dr Faleh, pakar mazhab Syafi’e di Jordan, melangkah perlahan-lahan ke qa’ah.

Irfan dan Nadzeem bangun, bergerak ke qa’ah yang sama.

Satu demi satu Irfan melangkah, dalam langkahannya dia berdoa, berdoa agar Allah SWT menjaganya.

Print This Post Print This Post

6 Comments

  1. assalamualaikum…jeles tengok akh berkarya laju saja…hm..aceh gurau je..
    ana pernah nak buat satu cerita tapi tak yakin dengan permainan watak tu..ana konfius kalau pandangan watak ‘aku’ tu nama sudut pandangan semua watak bleh ke?dan bagaimana nak bezakan penggunaan aku oleh watak yang beza dalam satu masa…?

    ada banyak lagi sebenarnya…tapi tak pa..
    jawab ni dulu kot..

    [Reply]

  2. musafir says:

    salam..insyaAllah,hati manusia ini Allah yg pegang.moge minda2 d luar sane terbuka,bkn cinta dunia itu,tp cinta Allah..Allah Maha Halus dan Maha Mengetahui..

    [Reply]

  3. Hilal Asyraf laksamana says:

    Assalamu’alaikum,

    kepada saifulmujahidah,

    hem… laju tak semestinya bagus…
    sukar la kalau nak buat ‘aku’ sebagai sudut pandangan semua watak. tapi jkalau terer hingga boleh atasi kesusahan tu, ok je. Nak bezakan, mestilah kena bezakan karaternya dulu. Contoh, Aku untuk watak A, akan menceritakan dirinya, gayanuya, berbeza dari ‘Aku’ untuk watak B.

    jawab dah… nak tanya lagi, boleh…

    kepada musafir,

    salam kembali…

    moga-mogha, Allah bukakan hati kita semua insyaAllah…

    ~seorang hamba..

    Hilal Asyraf

    [Reply]

  4. ae_sya ae_sya says:

    salam..

    hmm… mabruk ‘alaik…

    xsabar nk mnunggu episod yg seterusnya…

    mmg sgt mnarik story nie…

    smoga Allah sntiasa mmbri kelapangan kpd penulis utk sntiasa melaksanakan tgas2 pnulisan ini..

    insya-Allah…

    barakallahu fiik..

    [Reply]

  5. reff says:

    insyaallah, agak bagus plotnya. masih berjaya berteka-teki dan buat pembaca tertanya-tanya.

    nasihat ana, cuba enta baca semula sinergy daripada awal. mungkin dapat nampak kesalahan kecil di sana sini.

    menanti sinergy diterbitkan dengan pembaikan. insyaallah.

    kalau enta mahu ana huraikan dengan jelas, boleh email ana secara personal.
    insyaallah, ana beritahu kesalahan tu lagipula ana bukan pandai sangat.

    asif jiddan jika enta tak bersetuju.

    [Reply]

  6. faqir says:

    sekadar masukan
    rasenye description ’bout they are like twins
    tak ya la berulang2..
    rasenye dah terang kat post seblom ni..
    lau da masuk kat novel nampak boring
    that’s all
    jzk

    [Reply]

Leave a Reply