
Sahabat...
Cerita 4 Sinergi!
Jom baca!
Irfan diam sahaja. Dia memandang Asid lama-lama.
“Kenapa? Tengok macam tak pernah nampak orang je?” Asid kehairanan.
Irfan menjuih bibir. “Tak sangka diorang tu sanggup buat kau macam tu”
Asid tersengih. “Aku pun tak sangka. Punya la senyum manis masa bagi botol tu kat aku”
“Nasib baik kau tak ada sakit jantung”
“Nasib baik” Asid melontarkan pandangan keluar rumah.
Angin yang sebentar kuat dan sebentar perlahan, menerjah masuk ke rumah.
Selepas Isya’, Asid mengambil masa untuk menceritakan kepada Irfan akan apa yang berlaku kepadanya pagi tadi. Botol yang telah dimampatkan udara di dalamnya, apabila dibuka, akan menyebabkan letupan. Ibarat air gas selepas digoncang. Tetapi hasil tangan Disaster Five itu lebih dari air gas yang dibuka selepas digoncang.
“Nampaknya, mereka sudah mula tunjukkan penentangan.” Asid menghela nafas.
“Biasa la. Hati manusia sukar untuk berubah. Sukar menerima perubahan”
Asid memandang sahabat karibnya itu.
“Tapi, kita yang faham ini tak boleh putus asa” Irfan bertentang mata dengan Asid.
Asid mengangguk perlahan. “Ini adalah ujian. Nampak sangat mereka perlukan orang untuk menarik mereka, mendidik mereka”
“Kau tak marah la ni?”
Asid menggeleng. “Rasulullah SAW kena baling dengan batu sampai berdarah-darah Irfan, kenapa la aku nak marah bila orang buat letupan air pada aku. Tak luka pun”
Irfan menggaris senyum. Asid nyata sudah meningkat. Kalau dulu, Asid seorang yang amat mudah naik angin, walaupun hanya dengan gurauan kawan. Nampaknya, selepas melalui tarbiyah, didikan hati, Asid berjaya melakukan peningkatan.
“Halim la marah sangat tadi”
“Hu hu, Halim…” Irfan jadi teringat dengan Halim. Walaupun Halim pelajar dentist, dan dia adalah pelajar Yarmouk, rumah pula berlainan, itu tidak bermakna dia dengan Halim tidak kenal mengenali.
Halim seorang pelajar yang serius dalam semua kerjanya. Dalam peribadinya ada ketegasan. Namun di samping ketegasannya itu, ada kelembutan. Awalnya, memang Halim tidak berapa rapat dengannya. Tetapi selepas dia dan Asid giat menjalankan usaha untuk memperbaiki keadaan masyarakat sekeliling, Halim adalah antara yang pertama menyokong dan memberikan bantuan.
Tapi, semua itu, tidak diketahui kebanyakan warga PERMAI. Yang ramai orang tahu hanyalah Halim, seorang yang banyak mulut, kuat memberikan komen dan suka mengkritik. Pastinya, sebagai senior, Halim tidak akan sesekali senang dengan apa yang dilakukan oleh Muiez dan Harith.
“The light five kau tu, mengancam la. Lepas ni, entah apa yang mereka akan buat”
Irfan tersengih. “Sejak bila pula diorang tu aku punya?”
“Dah kau bagi nama”
Pecah ketawa mereka berdua.
“Aku rasa, mereka tu ada masalah dalam hidup. Sebab itu suka nak buat huru-hara. Biasanya, orang buat huru-hara ni, dia inginkan perhatian. Walaupun dia sendiri tak rasa dia nak kan perhatian”
“Sejak bila, dala fakulti Syariah Yarmouk, ada pelajaran psikologi atau kaunseling? Bukan semua tu madah fakulti tarbiyah ke?”
Irfan ketawa. Terus bahu Asid menjadi mangsa tolakannya. “Aku belajar ilmu An-Nafs la. Ilmu kemanusiaan. Dalam tu adala ajar fasal dawafi’ insani, yakni tuntutan-tuntutan dalam diri insan.”
“Sekarang ni, kita jangan buat macam tidak senang dengan mereka. Buat macam tak ada apa-apa. Kita terus je baik dengan mereka.” Irfan menambah, satu cadangan.
Asid tersenyum nakal. “Boleh tension budak-budak tu”
“Ini adalah satu permainan sahaja. Belum peperangan”
“Set”
****
Hari ini, Disaster Five buat hal lagi. Macam-macam pula kali ini.
Di JUST, penggera keselamatan berbunyi dan air memancur dari pancuran air keselamatan, membasahi dalam seluruh bangunan yang ada di dalam JUST. Bagi yang sedang menjalani kuliah, semua habis basah. Note-note daripada pensyarah, semuanya jadi lembik. Pembelajaran terganggu.
Bagi yang berjalan di koridor, terkejut dengan apa yang berlaku. Yang sedang makan di kafe lebih kasihan. Segala lauk di kafe telah bercampur dengan air.
Majoriti pelajar dan pensyarah yang ada di JUST telah melakukan pergerakan kecemasan, dan berkumpul di kawasan lapang kerna meyangka ada kebakaran yang serius.
Tetapi rupanya, tiada apa-apa yang berlaku.
Selain pelajar-pelajar melayu, tiada siapa yang tahu angkara siapakah semua ini.
Di Yarmouk, perkara lain pula terjadi.
Hari ini, selain pelajar melayu, boleh dikatakan hampir semua pelajar arab tidak hadir. Yang membuatkan semua pensyarah dan pelajar melayu pelik, bukan satu kuliah sahaja tidak dihadiri oleh pelajar bukan melayu, tetapi semua kuliah pada hari itu.
Petang tadi baru diketahui bahawa ada orang memecah masuk sistem perkomputeran Yarmouk dan berjaya menggodam e-mail pentadbiran, lalu menghantar e-mail bersama cop universiti kepada semua pelajar bukan melayu, menyatakan bahawa hari itu Yarmouk bercuti.
Namun tiada siapa yang mampu mengesan siapa yang melakukannya.
Tapi bagi pelajar-pelajar melayu, mereka dapat menghidu siapa.
Suasana agak kucar-kacir. Kebanyakan pelajar melayu agak risau dengan apa yang berlaku.
“Sabar-sabar” Baha menenangkan AMM.
Mesyuarat hari ini agak panas dengan isu Disaster Five serta tindakan mereka.
“Mana boleh sabar Baha, kalau terus macam ini, rosak imej melayu kita di sini” Atiff Nordin, Presiden Majlis Mahasiswa JUST, bersuara.
“Aku bukan apa Baha, imej malizi di mata pensyarah-pensyarah dan masyarakat arab amat baik. Kita dilayan dengan penuh kemuliaan kerna akhlak yang kita ada. Malah, suasana kita ni baru sahaja meningkat, dan pulih dari kes tahun lepas. Jadi aku risau kehadiran lima orang ni, bersama segala perbuatan mereka, menghancurkan semuanya” Shihabudin, Presiden Majlis Mahasiswa Yarmouk pula bersuara.
Majlis Mahasiswa JUST dan Majlis Mahasiswa Yarmouk, disatukan di bawah Persatuan Zon, yakni PERMAI. PERMAI menjadi unik kerna di bawahnya terdapat dua aliran berbeza. Aliran akademik dan aliran syariah. Yang membuatkan kebanyakan orang kagum dengan keadaan di Irbid, dua aliran ini boleh duduk bersama di bawah satu persatuan dan bergerak seperti satu famili. Bercampur seakan-akan mereka satu universiti.
Baha menghela nafas. Dia memandang Naqeb.
Naqeb jungkit bahu. Sukar juga hendak memberikan pandangan. Dia faham perasaan presiden kedua-dua majlis mahasiswa. Dia juga menyelami situasi Baha.
Ikhwan Subberi sebagai Ketua PMK, juga senyap sahaja. Situasi ini benar-benar sulit.
“Nampaknya, kes tahun lepas macam hendak berulang” Fakhrurrazi, ketua Biro Pembangunan Rohani memberikan pandangan.
“Eh, jangan sebut kes tahun lepas” Ridhwan, atau nama mesranya di dalam masyarakat PERMAI, Rockersz, Biro Keselamatan.
Baha memandang semua ahli mesyuaratnya. “Rilek bai, rilek”
“Kita jangan cepat melenting. Aku, ada cadangan baik punya”
“Apa dia?” Hampir serentak semua ahli AMM bersuara.
“Kita…”
Semua mendengar.
“Serbu rumah mereka!”
Semua diam.
Kita? Serbu? Rumah mereka?
Apa maksudnya?
****
Sudah hampir dua minggu selepas Disaster Five melaksanakan huru-hara di sana-sini. Tidak cukup di Universiti, sekarang Disaster Five semakin liar dengan mula menyerang rumah-rumah pelajar.
Ada beberapa rumah, komputer mereka tidak boleh dikawal. Skrin mereka akan terconteng dengan tulisan: DISASTER FIVE.
Ramai pelajar segera memutuskan internet mereka bagi mengelakkan komputer mereka digodam.
Pelajar-pelajar perempuan juga mula fobia apabila ingin masuk ke bilik mandi. Kerna terjadi satu kes, seorang pelajar perempuan terjumpa kamera kecil di dalam tandas mereka. Entah bila ada orang meletakkannya di dalam itu pun mereka tidak perasan.
Awalnya, mereka tidak tahu siapa yang meletakkan kamera itu. Tetapi, Disaster Five dengan selambanya menghantar sms, dan tidak diketahui macam mana nombor pelajar perempuan itu boleh berada di tangan mereka, meminta agar kamera itu dipulangkan.
Disaster Five memang berani, otak genius dan amat kreatif, langsung tidak kisah apa pandangan orang. Mereka sudah biasa dimaki dan dikutuk oleh masyarakat di asrama mereka sebelum ini. Mereka sudah banyak kali dihukum oleh guru mereka. Tapi akhirnya, mereka juga yang berjaya memperkotak-katikkan semua.
Biasanya, manusia di sekeliling mereka akan naik angin dengan cepat berkenaan hal mereka. Itu menyebabkan mereka semakin seronok memperkenakan orang lain.
Tapi di Jordan ini…
“Eh, kenapa orang macam tak naik angin dengan kita ha?” Dis Four hairan. Dia terus menggerakkan jari telunjuknya, melakukan skrol kepada tetingkap yahoo mail pada komputer.
PERMAI mempunyai Yahoo Grup. Asal ada isu yang panas, maka Yahoo Grup menjadi wadah utama ahli-ahli PERMAI berkongsi pendapat dan melontarkan kritikan. Yahoo Grup ini juga menjadi tempat ahli PERMAI membuat pengumuman dan bertanyakan kemusykilan dalam urusan hidup di Jordan mahupun urusan yang melibatkan universiti tempat mereka belajar.
“Disaster Five tak jadi isu pula ya?” Dis One memegang dagu. Hairan.
“Diorang tak cakap sikit pun fasal kita?” Dis Three lagi hairan.
Mereka perasan yang ahli PERMAI kurang senang dengan mereka. Ketika mereka membuat huru-hara di MHS, semua warga PERMAI, terutama para senior seperti membenci mereka. Malah, mereka ada mendengar beberapa suara yang mengutuk perbuatan mereka.
Tetapi, apabila universiti dibuka dan mereka meluaskan onar mereka di sana, warga PERMAI tidak bereaksi.
“Bukan setakat tak hairan, tapi, kau perasan tak yang ahli PERMAI ni makin baik dengan kita?” Dis Four memusingkan kepala, memandang Dis One dan Dis Three.
Kedua-dua orang itu mengangguk.
Kebalakangan ini, rumah mereka sering diziarahi. Bukan setakat AMM sahaja datang. Tetapi ahli-ahli PERMAI yang biasa juga datang. Rumah mereka tidak disisihkan dari suasana cantik yang ada di dalam masyarakat PERMAI.
“Korang ni, aim kitorang ke?” Dis Two pernah bertanya kepada Arshad Khalid, pelajar tahun dua perubatan yang menziarahi rumah mereka pada suatu hari selepas isya’.
“Eh, tak lah. Suasana ziarah menziarahi ni, sudah bermula semenjak tahun lepas. Ahli PERMAI makin ramai, maka kalau kita nak harapkan kepimpinan semata-mata untuk jaga ukhuwwah ahli, susah la. Jadi, ahli PERMAI itu sendiri kena bergerak menjaga ukhuwwah sesama mereka”
Semua ahli Disaster Five, kehairanan.
“Lagipun, kalau tak kenal, macam mana nak cinta” Syahmi, pelajar medic tahun dua, rakan kepada Arshad yang datang bersamanya menambah.
Memang, bila diperhatikan semula, suasana ziarah menziarahi itu berjalan pada semua orang. Tetapi rumah mereka tetap tidak disisihkan. Biasanya, pelajar-pelajar akan menziarahi rumah rakan-rakan pada malam minggu.
“Aku pelik la dengan orang kat sini. Tak marah langsung” Dis Two yang duduk melunjur bersuara.
“Atau sebenarnya, mereka ni marah, tapi sabar?” Dis Five mencelah memberikan pandangan.
“Apa-apa lah, yang penting, mereka tak melatah dengan apa yang kita buat” Dis Three menjawab.
“Macam tak berkesan” Dis Two.
“Macam mana dengan Si Asid tu?” Dis One bertanya, memandang Dis Three dan Dis Four.
Muiz dan Harith angkat bahu. “Macam tak ada apa-apa. Dia still baik dengan kami, kalau jumpa senyum, kalau dekat salam. Tak pernah ungkit sikit pun fasal botol tu. Kadang-kadang, kami yang rasa gerun nak jumpa dia”
Dis One memeluk tubuh, menghela nafas. Dadanya sesak. Otaknya berserabut.
Kenapa?
Kenapa warga PERMAI ini sebegitu rupa?
Macam…
“Macam malaikat” Dis Two berkata seorang diri.
Badruddin membesarkan mata.
“Tak seronok la macam ni” Dis Four menepuk papan kekunci.
Ini tak boleh jadi!
Dis One menghambur amarah di dalam hati.
****
“Aku terlupa pula yang kita ini memang ada tradisi serbu-menyerbu” Syafiq Ali menepuk belakang Baha.
Baha tersengih. “Lupa sebab awal-awal semester semua sibuk, lagi-lagi bila baru terima pelajar baru. Mana sempat nak ziarah rumah semua”
Syafiq Ali mengangguk.
“Assalamu’alaikum Abang Baha, Abang Syafiq”
“Ha, Syafiq, Erman, duduk la” Baha menepuk-nepuk lantai, mempersilakan.
Dua pelajar itu tersenyum. Abang Baha memang presiden mesra rakyat. Susah nak jumpa ketua sebegini. Syafiq Ali membuka ruang sedikit, agar Erman dan Syafiq boleh duduk bersama mereka.
“Ramai orang ya?” Syafiq memandang sekeliling.
Rumah Ikhwan Subberi penuh pada malam ini. Malah ada yang sampai masuk ke bilik kerana tiada ruang.
“Hari intropeksi memang macam ini” Syafiq Ali memberitahu.
Erman dan Syafiq kagum. Betapa tingginya komitmen ahli PERMAI dalam menghadiri program-program yang disediakan. Malah, majoriti hadir sebelum masa yang ditetapkan. Yakni datang awal.
Intropeksi Iman, salah satu program mingguan pelajar melayu di Irbid bagi muhasabah kembali hubungan mereka dengan Allah SWT dan medium untuk ingat memperingati antara satu sama lain. Dahulu, sesi ini dilakukan tiga kali seminggu. Namun akhirnya tidak mendapat sambutan. Tetapi selepas Irfan mengambil alih sebagai Presiden PERMAI, dia telah menukarkan sesi ini kepada seminggu sekali.
“Sekali itu, yang paling berkualiti, yang paling ramai hadir”
“Jadi Abang Irfan berjaya la?” Erman masih memanjangkan leher memandang orang di sekelilingnya. Masing-masing mengisi masa. Ada yang bersembang, ada juga yang membaca Al-Quran.
“Ya la. Betul cakap dia. Kita tak patut pentingkan kuantiti. Yang kita kena nampak dulu adalah kualiti. Kuantiti datang selepas kualiti” Abang Baha menjelaskan. “Banyak kali, letih nak ikut, orang tak datang. Apa dapat? Jadi, biar kita buat sekali, tapi sekali ini adalah yang terbaik. Alhamdulillah, hasilnya memberangsangkan”
Tiba-tiba Syafiq Ali menyentuh Baha dan meletakkan jari telunjuknya ke bibir. “Dah nak mula”
“Ok bai, kita kena senyap. Dengar baik-baik!” Baha semangat, menepuk belakang Syafiq.
Yang bersembang senyap, yang membaca Al-Quran berhenti. Tiba-tiba suasana menjadi sepi. Seakan-akan, kalau ada jarum yang jatuh, bunyinya tetap akan didengari.
Irfan Hakimi mengambil tempat penceramah. Hari ini, giliran dia. Kebetulan, dia memang ada sesuatu yang hendak dicakapkan kepada semua.
Tenang. Dia menarik nafas. Memandang semua warga PERMAI lelaki yang hadir. Intropeksi iman terbahagi kepada dua. Untuk perempuan dan untuk lelaki. Yang lelaki akan diuruskan oleh kepimpinan lelaki, yang perempuan akan dijalankan oleh pihak kepimpinan perempuan. Yang memberikan ceramah tidak semestinya ahli barisan kepimpinan. Biro PMK telah ditugaskan untuk membuat jadual, dan penceramahnya akan bergilir-gilir mengikut siapa yang ada potensi untuk membuat penyampaian. Kadangkala, sesi ini menjadi medan untuk melatih ahli PERMAI berani berucap.
Irfan memulakan bicaranya dengan memuji Allah SWT dan berselawat ke atas Rasulullah SAW. Kemudian dia mengucap kata hormat kepada Presiden PERMAI dan AMT serta AMM yang hadir. Akhirnya, dia melayangkan salam kepada semua.
“Assalamu’alaikum, kepada semua warga PERMAI, keluarga ana yang ana cinta”
Bila kata-kata itu dilafazkan, seakan-akan ada air sejuk yang menyimbah di atas kepala semua yang hadir. Kata-kata itu bukanlah satu diksi yang kompleks, atau ayat sastera yang berselirat, tetapi ia adalah satu kata-kata mudah, yang datangnya dari keikhlasan di dalam hati. Apa yang disampaikan dari hati, akan sampai juga kepada hati.
“Hari ini, kita duduk bersama-sama, untuk kembali muhasabah keimanan kita. Intropeksi Iman ini, adalah medium kita untuk muhasabah diri, di samping berkongsi ilmu yang ada. Seminggu sekali, dala intropeksi iman ini, kita duduk sebentar beriman. Bukan beriman sebentar sahaja, tetapi kita hendak bawa iman ini dalam seluruh kehidupan kita” Irfan menebarkan pandangannya.
Semua mendengar dengan khusyuk. Ramai yang memandang wajah Irfan.
“Hari ini, ana ingin membawakan satu hadith yang masyhur kepada semua, sebagai muhasabah diri kita”
Semua ternanti-nanti. Irfan juga bijak, dia tidak gopoh dalam memberikan penyampaian. Dia bijak bermain psikologi. Ilmu An-Nafs yang dimahirinya tidak dipersiakan.
“Satu hari datang seorang pemuda kepada Rasulullah SAW dan berkata: Wahai Rasulullah, berikan aku nasihat”
Irfan senyap lagi. Memandang semua. Dia memang suka begitu. Menarik perhatian. Mengumpul rasa ingin tahu. Berkomunikasi dengan perasaan.
“Rasulullah SAW menjawab…” Berhenti lagi. Semua ternanti-nanti. Mata Irfan menentang semua mata yang memandangnya.
“Jangan kamu marah” Irfan menyempurnakan.
Hati-hati ahli PERMAI yang hadir seakan dipanah. Belum lagi penjelasan diberikan, tetapi hadith itu seakan-akan mengenai jiwa-jiwa mereka, membasuh hati-hati mereka.
Irfan memang bijak. Dia tahu situasi dan kondisi ahli PERMAI. Dia tahu, semua sedang bersabar dengan ‘The Light Five’. Ada beberapa orang pelajar datang mengadu kepadanya. Baha juga pernah berjumpa dengannya. Ya la, siapa yang tahan hendak berbuat baik selamanya kepada orang yang berbuat onar kepada kita.
“Lelaki itu bertanya lagi, apakah ada lagi nasihat yang lain?” Irfan menyambung.
“Rasulullah menjawab, jangan kamu marah”
“Sekali lagi lelaki itu bertanya”
“Rasulullah SAW tetap menjawab, jangan kamu marah”
Irfan berhenti. Memandang semua warga PERMAI yang hadir.
“Maka wahai keluarga ana yang ana cinta, ana hari ini hendak memperingatkan kalian perkara yang sama telah Rasulullah SAW wasiatkan kepada lelaki itu. Janganlah kamu marah”
Warga PERMAI yang hadir seakan-akan tenggelam dalam kata-kata Irfan. Irfan meneruskan penyampaiannya dengan mengingatkan betapa sabarnya Rasulullah SAW dalam mengajak ummah kepada Islam. Dengan ketabahan baginda itulah, manusia hari ini dapat menikmati nikmat iman dan Islam.
Andai Rasulullah SAW dahulu marah-marah, benci-benci, maka iman dan Islam itu tidak akan dirasai manusia hari ini, dan perjalanan dakwah itu akan terbantut.
Berjaya sabar adalah ukuran kondisi seseorang. Sabar tak bererti kalah. Malah yang sabar itu adalah yang menang. Dimenangkan oleh Allah SWT di sisi-Nya.
“Apakah kemuliaan yang lebih besar, apakah kesenangan yang lebih besar, selain Allah SWT bersama kita?”
Irfan pun membaca penghujung ayat 249 Surah Al-Baqarah: “Dan Allah itu bersama orang-orang yang sabar”
“Allah bersama kita wahai sahabat-sahabat. Maka apakah besarnya dugaan yang datang, berbanding dengan besarnya Allah SWT bersama kita?”
Kata-kata itu terus-terusan mengetuk hati-hati yang hadir.
Erman memandang kiri dan kanan. Telinganya ada menangkap bunyi sedu.
“Ada orang menangis?” Hatinya pelik.
Dia hendak bertanya Abang Baha. Tetapi Abang Baha telah menutup mata dengan tangan. Nampak macam khusyuk menghayati apa yang diperkatakan.
Erman memanjangkan leher, memandang semua yang hadir, majoritinya seperti Abang Baha. Malah, ada yang mengalir air matanya dalam keadaan kepalanya terangkat memandang Irfan yang memberikan penyampaian.
Erman memandang Irfan yang sedang memberikan penyampaian.
“Apakah ini?” Katanya di dalam hati.
“Namun siapakah antara kita yang yakin bahawa Allah SWT bersamanya saat dia diduga? Siapakah antara kita yang yakin bahawa Allah SWT itu bersamanya saat marahnya dijungkit?” Irfan melontarkan pertanyaan.
Semua senyap.
“Jadi akhirnya, iman kita juga yang membantu kita, untuk merasai bahawa Allah SWT itu ada bersama dengan kita, ketika kita sabar. Apabila kita sabar, Allah SWT bersama kita! Dan manusia yang beriman sahaja mampu merasakannya” Irfan terus berbicara.
“Siapa yang tidak merasa Allah bersama dengannya ketika dia sabar? Siapa yang rasa bahawa sabaranya itu sia-sia? Maka jangan tanya kenapa diri tidak boleh sabar. Jangan tengok diri, emosi dan sebagainya. Mari kita tengok dan periksa kembali iman kita. Bila kita tidak mampu bersabar, sebenarnya iman kita ada masalah. Kerna imanlah yang menjadikan kita yakin bahawa Allah SWT bersama dnegan kita”
Kata-kata itu ibarat bom. Hati-hati yang hidup akan meledak dengan kata-kata itu.
“Kita tengok Saidina Ali. Dia tidak memenggal kepala yahudi yang meludahnya ketika peperangan, walaupun dia berada di atas yahudi itu. Kenapa? Kerana dia takut, dia membunuh yahudi itu bukan kerana Allah SWT, tetapi kerana mengikut nafsu amarah. MasyaAllah…” Irfan bermain intonasi. Sebentar tinggi, sebentar rendah. Bermain ritma, menggetarkan gegendang telinga dengan alunan suara yang mampu menggetarkan jiwa pendengarnya.
“Sedang memegang pedang, diludah, sudah berada di atas musuh, tetapi Saidina Ali boleh tidak meneruskan pancungannya. Malah berkata: Aku takut aku membunuh kamu, hanya kerana aku marah, bukan kerana Allah. Inilah dia orang yang beriman. Bagaimana kita? Bagaimana kondisi kita?”
Senyap. Suasana sangat sepi. Bunyi kipas berpusing sahaja kedengaran. Sekali sekala angin sejuk menyapa.
“Jadi marilah kita bersabar atas segala duga. Janganlah kita mudah melenting dengan ujian yang tiba. Yakinlah, Allah SWT itu bersama kita. Mari kita muhasabah, dan koreksi kembali keimanan kita”
Irfan pun menutup penyampaiannya. Ringkas. 10 minit sahaja. Tetapi ibarat air yang memberikan kesegaran kepada tumbuhan.
“MasyaAllah, masyaAllah…” Abang Baha menggelengkan kepala. Mungkin dia juga sedang muhasabah dirinya.
Walaupun Irfan tidak sedikit pun menyentuh isu Disasyer Five, kebanyakan orang yang hadir merasakan bahawa Irfan sedang mengajak mereka untuk bersabar dan terus berusaha mendekati Disaster Five, berbuat baik kepada mereka.
Yang merungut kepada Irfan selama ini terasa. Yang selama ini mengutuk-ngutuk Disaster Five di belakang terasa. Yang selama ini terasa dengan Disaster Five pun terasa. Masing-masing rasa bersalah. Masing-masing merasakan keimanan mereka ada masalah. Ketika ini, masing-masing menyimpan hajat, berusaha untuk lebih sabar menghadapi segala dugaan. Bukan sahaja Disaster Five, tetapi dugaan-dugaan lain dalam perjalanan sebagai hamba Allah SWT.
Kuncinya, iman kepada Allah SWT.
Majlis ditutup dengan tasbih kaffarah dan Surah Al-‘Asr.
Hati-hati yang basah ini bersalaman. Kebanyakannya mengucap terima kasih kepada Irfan. Penyampaian itu memang kena pada masanya. Irfan bijak memahami situasi mereka.
“Hebat” Syafiq sekarang penuh rasa kagum. Dia memandang Irfan yang sedang melayan orang yang bersalaman dengannya.
Erman senyap sahaja. Dia speechless. Entah kenapa, hatinya terpukul-pukul dengan kata-kata Irfan. Iman…
Dalam kebanyakan orang yang hadir, tiada siapa perasan kehadiran seorang lelaki, memakai hood, duduk di barisan paling belakang sekali. Dia menggenggam kedua belah tangannya.
Baru dia tahu kenapa ahli PERMAI mampu bertahan dengan segala kerja-kerja Disaster Five.
Kekuatan mereka, kerna ada orang yang mampu memimpin dan membimbing mereka dengan baik.
Dia mengetap bibir.
“Nampaknya, kita kena fokuskan kepada Irfan…”





“Siapa yang tidak merasa Allah bersama dengannya ketika dia sabar? Siapa yang rasa bahawa sabaranya itu sia-sia? Maka jangan tanya kenapa diri tidak boleh sabar. Jangan tengok diri, emosi dan sebagainya. Mari kita tengok dan periksa kembali iman kita. Bila kita tidak mampu bersabar, sebenarnya iman kita ada masalah. Kerna imanlah yang menjadikan kita yakin bahawa Allah SWT bersama dnegan kita”
MasyaAllah..sabar itu pada permulaannya..
Jazakallah khairan atas ingatan T_T
subhanallah.
kisah benar ke bai?
sambungannya mana? xsabar ni.
(musuh2 Allah sentiasa memerhati dan mencari jalan untuk menghancurkan kita. wamakaruu wamakarallah, wallahu khoirul maakiriin)
cantik..
cukup cantik..
ada peningkatan..
teruskan perjuangan..
insyaAllah kejayaan menanti di hujung jalan..
Allah bersama sangkaan para hambaNya..
jika baik sangkaan kita, insyaAllah perkara baiklah yg kita akan dpt satu hari nt..
sabar,rencana Allah itu adalh rahsia,xkan tercapai dek akal manusia ini..
bersangka baiklah pd Allah..
n org laen(^-^)
alhamdulillah….
thank you Allah
syukurnya terpilih utk baca artikel nih..
terima ksh shbt yg mta sy bc blog nih..
masyaAllah, jujurnya mmg mdah sgt rse nak mrh even pkara2 yg kcil..
tp one day..bla niat mmg nak brubah..nak jd org yg sbr..
mmg x dnafikan ujian tu pasti dtg dr smua sudut..
Allah nak uji samada bnr2 beriman..
yg pnting mmg rase manis..ble rase nak mrh tu, tbe2 teringat yg Allah sdg uji..ble teringat tu tup2 rse sejuk hati..rse bahagia plak dgn ujian tu..
masyaAllah..
smbungan.. thank you Allah ats nikmat perasaan bahagia yg mnyelinap dlm jiwa ni..