
digabung dua menghasilkan sesuatu yang luar biasa
So, Sinergi datang semula selepas minggu lepas tidak dikeluarkan kerana raya.
So this bab 5 untuk anda yang menanti-nanti sambungan Sinergi.
Dan saya ada berita duka bersulam suka(agaknya la..) di akhir pos ini.
Jom baca, hayati!
Cerita 5
“Ei, makin sejuk kan?”
Irfan memandang langit. Benar. Udara di dataran syam ini semakin sejuk.
“Musim sejuk semakin menghampiri” Dia memandang Asid yang sedang berpeluk tubuh.
Irfan membuka jaketnya. Kemudian memakaikannya kepada tubuh Asid.
“Terima kasih sahabat”
Irfan tahu, dalam kegagahan Asid, dia lemah dengan sejuk. Irfan masih ingat betapa Asid kelihatan seperti orang hampir mati kerna tidak tahan dengan kesejukan musim sejuk ketika tahun satu dahulu.
Mereka berdua terus berjalan. Melihat-lihat baju yang bergantungan di kedai. Hari ini hari Sabtu. Dijangka cuaca akan benar-benar sejuk pada minggu hadapan. Hari ini, Irfan dan Asid pergi ke bundle di balad irbid untuk membeli baju musim sejuk.
Baju-baju di bundle Irbid, jika pandai cari, akan dapat yang berkualiti dengan harga yang amat murah. Bayangkan, jeans berjemana levis hanya RM25, kerana dijual dengan harga 5JD di sini. Sebab itu, kebanyakan pelajar melayu tidak risau dengan pakaian. Jika inginkan pakaian baru, maka bundle akan menjadi sasaran.
Bundle Irbid terkenal murah berbanding bundle-bundle yang wujud di mantiqah lain, mahupun di negara sekitar Jordan. Murah, sehingga ada pelajar yang membeli borong pakaian di sini, dan membuat perniagaan di Malaysia. Murah, sehingga pelajar-pelajar dari Mesir, Syria, dan Madinah berkirim dengan kenalan di Jordan untuk membeli pakaian yang dikehendaki.
Di bundle Irbid, ada pelbagai jenis baju, seluar, beg, kasut dan selipar. Bila musim sejuk datang, maka pakaian-pakaian musim sejuk akan berlambakan di sini. Begitu juga pada musim panas, pakaian-pakaian musim panas akan menjadi barangan utama di bundle.
Dan di kawasan bundle Irbid, terdapat puluhan kedai yang menyediakan keperluan-keperluan tersebut. Sehari, tidak cukup untuk menjelajah dan meneliti seluruh bundle. Maka, semua orang mempunyai amat banyak pilihan di sini.
“Cantik tak?” Irfan memadankan satu baju sejuk jahitan tangan pada tubuh Asid.
Asid tersenyum. “Apa yang sahabat pilih, semuanya cantik”
Garisan senyuman turut terukir pada bibir Irfan.
“Kau nak belanja aku baju ke?” Asid mengangkat sehelai baju yang lain.
“Kau nak?” Irfan menyelongkar timbunan baju di hadapannya.
“Kau belanja aku baju, aku belanja kau seluar”
“Cadangan yang baik”
Mereka berdua terus mencari-cari baju yang sesuai. Kalau salah seorang dari mereka adalah perempuan, pasti mereka kelihatan seperti pasangan kekasih yang rapat.
Irfan Hakimi dan Rasyid Zakwan memang sukar dipisahkan. Berlainan perwatakan dan kos pembelajaran, tetapi mampu bersatu atas dasar keimanan, berkasih sayang ibarat saudara kandung. Masyarakat melayu di Irbid, ramai yang mengkagumi mereka berdua. Semenjak kehadiran mereka di Irbid, pelajar melayu di Irbid menjadi semakin rapat sesama sendiri.
Ketika mereka berada di tahun satu, hubungan antara pelajar JUST dan Yarmouk tidak terlalu rapat. Malah, dahulu, tiada satu pun program yang menggabungkan antara JUST dan Yarmouk.
Irfan dan Asid berjaya membuat satu anjakan paradigma, dengan memecahkan suasana beku itu. Antara perkara yang dilakukan, berlainan dengan orang lain ialah, tinggal serumah. Sebelum kedatangan mereka, tiada pelajar JUST dan Yarmouk yang tinggal serumah.
Asid juga memecah tradisi apabila menjadi pelajar JUST pertama yang pergi mustami’ di dalam dewan kuliah Yarmouk.
Kemudian, merekalah yang mula melaksanakan program-program umum seperti iftar puasa sunat, qiamullail dan tazkirah selepas subuh seminggu sekali di masjid, dengan mengajak pelajar-pelajar dari kedua-dua universiti. Senior-senior mereka ketika itu pun turut serta.
Lama kelamaan, pelajar yarmouk dan JUST mula membina kesefahaman dan merasai kepentingan serta kelebihan apabila mereka duduk bersama-sama. Maka PERMAI ditubuhkan pada tahun yang berikutnya, menggabungkan organisasi pelajar melayu Yarmouk dan JUST.
Program-program yang menggabungkan kedua-dua aliran pelajaran mula bergerak, seperti Tafaqquh Medic, Kehebatan Islam di dalam Sains, Perbincangan Khasiat Susu Ibu dari perspektif Islam dan sebagainya.
Gelombang ini akhirnya membina generasi pelajar yang mantap. Ada pelajar melayu JUST yang jadi berminat dengan pembelajaran Islam, seterusnya menggerakkan diri mereka untuk mengambil peluang dengan sheikh-sheikh talaqqi yang ada di Jordan bagi mengambil ilmu Islam. Ada juga pelajar perubatan yang menggunakan masa lapang mereka, pergi mustami’ di dalam kelas pelajar Yarmouk.
Pelajar Yarmouk pula berusaha, mewujudkan peluang agar pelajar JUST berkongsi kepakaran mereka. Maka diadakan Forum Medic, dan Program Mini Clinic.
Hal ini membuatkan masyarakat melayu Irbid, seperti adik beradik. Seperti keluarga yang besar. Suasana di Irbid, amat harmoni disebabkan ini.
Ketika PERMAI baru ditubuhkan, Irfan telah dipilih untuk menerajuinya. Namun pada tahun itu, Irfan menolak dengan alasan masih muda, dan dia berkata bahawa dia berhajat untuk senior-seniornya yang menjadi pemimpin.
Hal itu membuatkan dia amat disegani dan dihormati. Walaupun dia tidak menjadi Presiden PERMAI, dia dijadikan penasihat dan tempat rujukan, diambil menjadi setiausaha. Akhirnya, pada tahun tiga, Irfan diangkat menjadi Presiden PERMAI.
“Sekejap aja ya”
Irfan angkat kening.
“Ini musim sejuk terakhir kau di sini” Asid berjalan sambil sengaja menggerakkan tangan, membuai-buai plastik yang berisi pakaian di dalamnya.
Irfan tergelak kecil. Segera tangan kanannya menutup mulut.
“Weh, lawak ke?” Asid menolak bahu Irfan.
“Tak ada la, ingatkan kau nak cakap apa tadi”
Asid mencebik. “orang tengah syahdu, dia boleh plak ketawa. Buang karan betul la kau ni bro”
“Jangan la sedih. Sekarang dah ada Facebook, boleh la kongsi-kongsi berita”
“Kau jangan kahwin awal dari aku plak”
“La, itu ke yang kau risaukan?”
“Jeles la seh, kau habis awal!”
“Sapa suruh kau ambil dentist. Kan dah kena khali kat sini lima tahun. Ini pun aku kesian kat kau, sebab tu aku ambil 4 tahun. Kalau tak, tiga tahun dah boleh habis”
Benar. Sistem pembelajaran di Universiti Yarmouk amat fleksibel. Pembelajarannya tidak mengikut tahun, tetapi mengikut pelajaran. Katalah ada 44 mata pelajaran, maka tempoh pengajian dikira dengan menghabiskan 44 matapelajaran yang telah ditetapkan. Berapa tahun, itu tidak menjadi masalah.
Satu semester, seorang pelajar boleh mengambil paling banyak 6 mata pelajaran, paling kurang 3. Ketika semester musim panas, seorang pelajar boleh mengambil paling banyak 3 mata pelajaran, paling kurang 1. Jika pelajar itu mempunyai markah yang baik dan sentiasa menunjukkan peningkatan, maka ada kemungkinan dia akan dibenarkan mengambil 7 atau 8 mata pelajara pada semester biasa, dan 4 atau 5 pada semester soifi.
Namun Irfan, dia tidak memilih untuk habis cepat. Jika dia mengambil 6 mata pelajaran ketika semester biasa, dan mengambil 3 mata pelajaran semasa semester soifi secara berterusan, maka dia boleh menghabiskan pelajarannya dalam masa 3 tahun 3 bulan.
Tetapi, Irfan sengaja tidak memilih sedemikian. Hal ini kerana, dia mempunyai beberapa kelas talaqqi, seperti talaqqi qira’ah sab’ah, dan talaqqi kitab-kitab dengan Syeikh Muaz Sayyid Hawwa. Kelas talaqqi biasanya memerlukan masa yang agak panjang untuk dihabiskan. Maka Irfan sengaja memanjangkan pengajiannya di Yarmouk, agar dia boleh menyempurnakan kelas talaqqi yang diikutinya.
Cepat tak semestinya bagus, lambat tak semestinya teruk. Itu prinsip Irfan. Dia menggunakan sepenuhnya, peluangnya ketika berada di tanah anbiya’ ini.
“Kalau aku kahwin, kau akan tahu sebelum aku kahwin lagi” Irfan menggeleng. Geli hati dengan gaya Asid.
“Promise”
“Inna wa’di haq” Sesungguhnya janjiku adalah benar.
“Pergh, serius seh. Macam berpisah tak jumpa plak”
Mereka berdua ketawa.
Akhirnya mereka sampai ke duar kurrah. Melepasi duar itu, mereka bergerak terus ke tempat perhentian bas. Asid sempat memandang ke tempat dia bertemu dengan Sara.
Tersenyum.
“Ha, teringat bidadari mana tu?”
Eh? Asid memandang Irfan.
“Apsal tersenyum sorang-sorang?” Irfan buat muka nakal, menyakat.
Ingatkan apa tadi. Teka tepat betul. Hati Asid mendesis.
“Senyum pun salah ke?”
“Tak salah, malah dapat pahala. Senyum seorang sahabat kepada sahabat itu adalah sedekah. Tapi…”
“Tapi apa?” Hati Asid sikit berdebar. Irfan ni, boleh teka apa yang ada dalam hati ke?
“Tapi tadi kau tak senyum pada aku”
Pecah ketawa Asid di lorong tempat menunggu bas itu.
“ Ni ha, aku senyum kat kau” Asid mendekatkan wajahnya pada Irfan, sambil melebarkan senyumannya selebar-lebarnya.
Irfan turut tergelak, pantas muka Asid ditolak.
“Lebih-lebih la kau ni”
Mesra. Siapa juga akan mencemburui mereka apabila melihat kemesraan itu. Namun, kebanyakan manusia mencemburui mereka, dengan harapan untuk mencontohi mereka. Ukhuwwah yang menyebarkan rasa harmoni kepada semua.
Sampai sahaja di tempat menunggu bas, coaster ke syari’ jami’ah sudah tersedia.
Mereka berdua menaiki coaster itu, dan bergerak pulang.
Tanpa disedari, mereka sebenarnya telah diikuti semenjak mereka keluar dari rumah, hinggalah mereka menaiki coaster untuk pulang.
Kamera digital dimasukkan ke dalam sarung, kemudian digantungkan ke leher. Poket seluar diseluk, mengambil telefon bimbit. Nombor hubungan dicari di bahagian contact, bila jumpa, butang call ditekan.
Tunggu.
Bersambung.
“Hallo bro”
“Holla dis four”
“Sasaran telah pulang, apa yang dikehendaki sudah didapati” Macam prebet melapor kepada jeneralnya.
“Good. Return immediately. We will strike once we prepared our weapon”
“Roger and out”
Dis Four tersenyum sinis.
“Jangan buat fasal dengan Disaster Five, nanti nahas.”
Sekolah boleh diterbalikkan, apa la susahnya hendak menghancurkan kehidupan dua orang insan?
****
Syafiq meminum qahwah panas yang baru sahaja dibelinya. Tidak pernah merasai qahwah arab, teringin, tambahan cuaca sudah mula sejuk.
Bibir mencecah air, lidah merasa qahwah, terus satu refleks dari tangan terjadi, cawan dijauhkan dari mulut.
“Alamak, pahitnya. Panas plak tu”
Erman menahan tawa. “Tu la kau, kalau nak manis, balik rumah buat sendiri. Kopi arab mana letak gula banyak-banyak. Pekat gila”
“Ala, aku nak try aja. Tak pernah beli” Syafiq buat gaya merajuk.
“Alalalala, rilek la kawan” Erman menepuk belakang Syafiq.
“Ei, dah tengah hari, tapi masih tak panas lagi kan?”
“Dengar kata, minggu depan dah nak masuk syita’”
“Kita tak beli lagi baju sejuk”
“Kena pergi balad la”
“Esok kau free? Kita keluar la”
“Boleh, tapi lepas asar la baru aku balik. Aku ada kelas pukul 2”
“Okeh, cantik la tu. Lepas Asar kat masjid, kita terus keluar”
“Set”
Asar sekarang masuk pada pukul 3.00 petang. Mengikut apa yang dikatakan senior-senior, nanti maghrib akan masuk sekitar pukul 3.30 petang. Bermakna, waktu asar dan zuhur akan menjadi lebih awal. Tetapi, yang seronoknya, subuh akan masuk lewat ketika Syita’. Itu satu bonus. Namun, bonus hanya untuk sesiapa yang mampu melawan kesejukan syita’ dan keenakan tidur dalam selimut yang tebal.
Tiba-tiba satu coaster berhenti di hadapan tempat mereka membeli qahwah.
Beberapa orang arab turun. Di akhirnya, Asid dan Irfan.
“Eh, bro Asid, Abang Irfan!” Segera cawan qahwah diletakkan di meja kedai, kemudian Syafiq terus bergerak mendapatkan dua orang senior itu. Erman mengikut.
“Oh, kamu berdua” Asid menghulurkan tangan. Irfan melempar senyuman. Mereka bersalaman.
“Buat apa ni?”
“Ala, baru lepas Zuhur, saja je nak test qahwah” Syafiq berbicara pantas, mesra.
“Amacam rasa qahwah arab?” Irfan bertanya.
Syafiq menjawab dengan ketawa.
“Pahit kan?” Asid meneka.
“Ha’ah, pahit”
“Lain kali, masa beli, cakap la, biddi sukkar ziadah” Aku nak gula tambah, itulah yang dilafazkan oleh Asid.
“Ooh, boleh ya?”
“Boleh, seluruh syari jami’ah ni dah faham dan dengan citarasa malizi.”
“Macam kalau beli syawarma, minta tambah telur?”
Asid dan Irfan mengangguk serentak. Syawarma bil baidh. Malizi je yang selalu minta.
“Erman, apa khabar kamu?” Irfan memandang Erman dengan senyuman. Junior itu senyap sahaja. Tidak seperti Syafiq yang mesra.
“Alhamdulillah bang, baik-baik aja”
“Bagus” Irfan meletakkan tangan di atas kepala Erman, kemudian mengusapnya. Kasih sayang tumpah.
“Eh, Asid, keluarkan apa yang kita beli” Irfan menolah kepada Asid.
“Ha’ah” Asid baru teringat. Segera dia meletak plastik-plastik yang berada pada tangannya. Kemudian dia memeriksa plastik-plastik itu.
“Ha, ini dia” Dua helai baju sejuk tebal dikeluarkan. Irfan mengambil sehelai.
“Ini untuk kamu” Dia menghulur kepada Erman. Erman membesarkan mata.
“Ini pula untuk kau” Asid mendekatkan baju sejuk pada tubuh Syafiq.
“Wah! Baiknya!” Syafiq separuh menjerit. Macam tak percaya. Dia terus mengambil baju sejuk itu. Nampak berkualiti.
Erman mengambil perlahan.
“Mesti mahal ni!” Syafiq menilai dari jenis baju.
“Bundle ni. Murah je. Cuma kena pandai cari, dapat la yang berkualiti, cantik” Asid tersengih melihat kegembiraan Syafiq. Teringat ketika dia tahun satu dahulu, menerima hadiah baju sejuk seperti ini. Memang seronok apabila senior mengambil berat.
“Memang beli untuk kami ke?” Syafiq kegembiraan.
Irfan mengangguk. “Teringat kamu, sebab Baha selalu sebut. Jadi kami ada duit lebih, beli la”
“Baiklah abang berdua ni” Syafiq terus memuji.
“Abang-abang lain pun baik juga. Kita semua kena baik dengan orang lain” Asid menepuk-nepuk bahu Syafiq.
“Ha, baiklah, kami nak bergerak pulang ni” Irfan menghulurkan tangan untuk salam perpisahan.
“Oh, baik. Jumpa lagi nanti bang, bro” Syafiq memandang kedua-dua seniornya itu.
“Jumpa lagi insyaAllah” Asid dan Irfan berjabat tangan dengan dua orang junior itu.
Sebaik sahaja Asid berpusing, dia seperti terkena kejutan elektrik.
Sara berada betul-betul di hadapannya. Mujur tidak berlanggar.
Irfan juga terkejut.
“Eh, maaf,maaf” Sara naik segan.
Muka Asid merah. “Tak mengapa, tak mengapa” Pantas dia cuba menenangkan keadaan.
“Tadi nak mengelak dari berlanggar arab, tak sangka hampir nak terlanggar awak”
“Tak mengapa” Asid tunduk. Matanya tiba-tiba terasa panas.
“Dari mana ni Sara?” Irfan bertanya tenang. Menjernihkan keadaan antara Sara dengan Asid.
Asid terus menoleh Irfan. Irfan kenal Sara?
“Dari Duar Nassim, rumah kawan”
“Ni balik nak ada muroqib tak?”
“Tak perlu, tak perlu. Siang ni, lagipun ada kawan tunggu depan Mat’amji”
Irfan mengangguk. “Kalau begitu, kami gerak pulang dulu. Jalan elok-elok” Lembut bicara.
Sara menunduk, iya. Segan dengan apa yang terjadi, buat Sara sedikit gelabah. Mujur Irfan bijak mengimbangi suasana.
Sara hendak terus berlalu.
“Jaga diri baik-baik. Jangan terlanggar orang”
Jantung macam kena renjat elektrik. Suara Asid.
Namun Sara tidak menoleh. Terus berjalan.
“Terima kasih” Dalam hati.
“Jaga diri baik-baik” Irfan mengulang dengan senyum pada Asid.
“Apa? Betul la jaga diri. Dia kan akhawat?”
“Ok, ok, lawak je” Irfan angkat kedua tangan.
Asid menghela nafas. Sukar mengawal diri dalam keadaan sebegini.
“Ha, kami balik dulu ya” Asid memandang dua orang junior yang secara tak langsung menjadi penonton sebentar tadi.
“Baik” Syafiq melambai.
Erman memandang sahaja. Semenjak Asid dan Irfan muncul, dia tiba-tiba jadi macam tidak mesra.
Matanya mengekori Asid dan Irfan sehingga mereka berdua hilang, memasuki Syari’ Tulqarom, yang juga digelar Syari’ Malizi kerana pelaajr melayu ramai tinggal di situ.
Asid, Irfan, Sara.
Erman tersengih. Menarik.
****
“Kita beli soba!” Dis Two tiba-tiba menjerit.
Terus kepalanya ditolak dari belakang oleh Dis Five. “Kalau ya pun nak bagi cadangan, janganla menjerit. Apa la”
“Yang kau main dengan kepala aku kenapa ha?” Dis Two tak puas hati.
“Sebab aku rasa, kepala kau tu nak kena goncang sikit baru IQ kau setaraf dengan kami”
“Tahu la IQ aku ni sama je dengan orang biasa, tak genius macam korang” Dis Two memuncungkan mulut.
Semua temannya yang lain amat bijak dalam pelajaran dan terlalu kreatif dalam pemikiran. Tidak cukup dengan itu, masing-masing mempunyai kepakaran.
Dis One, Badruddin Jamil, amat hebat dalam merangka strategi dan taktik. Pakar dalam pelbagai jenis sukan dan permainan. Sering membaca buku-buku seperti Art of War dan karya-karya Zhuge Liang serta meminati komik The Ravages of Time yang membincangkan pergolakan zaman tiga kerajaan china, dan strategi-strategi peperangan di dalamnya. Kebijakannya menyebabkan Disaster Five tidak kering dengan pelbagai strategi untuk mengenakan orang di sekeliling mereka.
Dis Three, Wafiq Wasim, amat pakar dalam memasak. Amat hebat. Pernah satu hari, Dis Three mengoyak-ngoyak buku Chef Wan, kerana menganggap bahawa dirinya lebih hebat daripada chef terkenal itu. Kesayangan guru perempuan kerana kepakarannya. Amat kacak sehingga ada pelajar perempuan sanggup menawarkan diri untuk menjadi perempuannya. Namun dia menolak mentah-mentah dengan berkata: “Aku tak suka perempuan murah”
Dis Four, Muiez Iskandar, seorang yang amat genius dalam bidang komputer. Dia pernah memecah masuk data kementerian pertahanan negara dan pernah mencuba untuk menembusi pangkalan data Pentagon. Dia juga bekerja secara sambilan dengan beberapa syarikat untuk menyelenggara website, serta menjaga data-data syarikat dari dicuri orang atau diserang virus. Dia juga banyak kali memenangi pertandingan permainan komputer online. Segala apa berkenaan komputer, seperti adobe photoshop, coding, hacking, flash, movie making, semuanya hanya di hujung jari Dis Four. Dialah yang selama ini menghalang Disaster Five dari dibuang sekolah dengan menghilangkan data-data salah laku Disaster Five dari komputer sekolah.
Dis Five, Harith Farhan, pemegang tali pinggang hitam dan 3 dalam taekwando, serta pakar Seni Silat Gayung Malaysia. Amat meminati segala cerita dan maklumat berkenaan seni tempur. Peminat tegar Jet Li dan Jackie Chan. Johan tak pernah kalah sepanjang memasuki pertandingan taekwando di alam sekolah menengah. Dialah yang membuatkan Disaster Five tidak mampu disentuh sesiapa yang tidak berpuas hati. Hatta guru-guru pun tidak pernah berani bersemuka dengan Disaster Five, jika Dis Five ada bersama yang lain.
Dis Two, Yusuf Erham, sahaja tidak mempunyai apa-apa kelebihan.Hanya orang yang mengikut sahaja teman-teman yang lain. Dis two yang mejadi gelarannya bukan penanda aras kehebatan atau kebijakannya. Dia mendapat gelaran Dis Two, kerana dia adalah orang pertama diajak oleh Dis One untuk memasuki kumpulan ini. Selepas dia,barulah Dis Three, Dis Four dan Dis Five mneyertai.
Dia juga merupakan satu-satunya keluarga miskin dari Disaster Five. Dis One anak salah seorang exco kerajaan negeri. Dis Three merupakan anak YB, manakala Dis Four merupakan anak taukeh pernigaan besar, dan Dis Five adalah anak orang besar dalam Jabatan Perparitan dan Saliran. Ayah Dis Five mendapat gelaran Dato’ atas kehebatannya dalam mengendali kerjanya dalam JPS.
Dis Two tidak mendapat biasiswa. Namun hajatnya untuk menyambung pelajaran dalam bidang pergigian amat tinggi. Sebab itu, apabila Disaster Five membuat keputusan, memilih Jordan sebagai tempat mereka seterusnya, dia tidak bersetuju kerana ketiadaan wang. Pengajian dan kos hidup di Jordan sangat mahal.
Akhirnya dia bersetuju, kerana empat temannya yang lain dengan rela hati menanggung penuh perbelanjaannya di sini.
Sebab itu, walaupun dia dipermainkan, tidak pernah sekali dia melawan. Hanya merungut sahaja. Itu pun, rungutannya tidak pernah diambil kisah oleh teman-temannya yang lain. Semua sudah menganggap, itu sebahagian dari sikap Dis Two.
“Okeh, khalas!” Dis Four menolak papan kekuncinya.
Yang lain mendekati Dis Four. Semua memandang apa yang terpampang pada skrin.
“Cantik bro” Dis One menepuk. Gembira.
Gambar Asid mendekatkan muka kepada Irfan sudah diedit seakan-akan hendak bercium.
Senyum di bibir Dis One lebar.
“Perkara pertama yang perlu dirosakkan adalah kepercayaan. Apabila manusia rasa kepercayaan mereka dikhianati, maka selamanya mereka tidak akan mempercayai lagi manusia yang pernah mereka letakkan kepercayaan itu”
Yang lain mengangguk.
Semuanya sudah dirancang oleh Dis One.
Nampaknya, Dis One tidak mahu bermain-main dengan musuhnya.
Dia hendak menghapuskan terus.
ps: Apa berita duka bersulam sukanya? Jadi firstly, duka citanya, saya nak maklumkan bahawa cerita Sinergi yang akan disiarkan secara online di Langit Ilahi hanya setakat ini sahaja. Ada sebab-sebab tertentu kenapa sampai setakat ini sahaja. Untuk menghabiskan perjalanan pembacaan anda terhadap Sinergi, tunggulah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010, yakni pada tahun depan, sekitar pertengahan tahun(lama tu…). Apa yang bersulam sukanya? Aha… bila Sinergi tiada, maka slot ini akan digantikan pula dengan cerita Remaja Mulia, satu lagi karya saya yang terbaru….. Akan bermula minggu hadapan. So, nantikan ya…





salam ziarah..
wah~knp nk stop sinergi??cerita tgh nk klimaks ni..
bout remaja mulia..hrp2 cerita tu mampu kekalkn minat pembaca..
i’m looking forward to it..
keep your good job!
[Reply]
salam…
huhu…nk stopkan ker sinergi
tengah seronok membaca nih…
ps: luar biasa pemikiran saudara hilal
hebat dalam penulisan…
tahniah..MENARIK!!!
[Reply]
salam.
kelakar la part yg asid tersenyum tu..
owh. kalau begitu, can’t wait for bookfest tu nnt. insyaAllah dpt pego..
yg 2009 tak pegi pun.
Congrats untuk Sinergi. It’s truly awesome..
[Reply]
salam… sedihnyer…. satu gelombang karya yang dinantikan
[Reply]
Salam.. baru berkira-kira untuk tggu sinergi bab 6… lama nye nak tunggu.. sabar menanti…
p/s:: dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim..Saya dengan penuh rasa rendah diri merasmikan dan mengajak anda ke blog saya epilogsofia.blogspot.com … Im a new beginner… Jika ada kesilapan , mohon diajar ye…..
[Reply]
Allah, kenapa cepat sgt? ingatkan boleh la baca dekat 7-8 bab..tengok2 smpai bab 5 je? hmm, takpelah. janji bukunya keluar nanti. insya Allah akan dibeli juga. teruskan menulis. em, cuma nk tau, syuwaikh tu tarikh tepat terbitnya dah ade ke?
[Reply]
Salam…
Tgh syok2 baca nie..x sabar nk tau sambungannya..kalo boleh beli online lagi baguih..hEe..
Cita yg sangat mantap la..
Teruskan berkarya..
[Reply]
Salam..
baru je jumpa blog ni malam kelmarin & kebetulan ternampak tajuk sinergi ni. baca punya baca, xdinafikan memang menarik. Seolah-olah membaca karya Habiburrahman El-Shirazy Junior..hehe. Tahniah ye!
& terima kasih juga kepada akhi Hilal krn blog akhi bjaya mententeramkan jiwa yg tgh gundah ini..
Semoga Allah membalasmu dgn kebaikan, akh.
p/s: sedih juga ceritanya tamat dcni. Insyaallah pjg umur thn dpn bukunya akn dbeli. keep it up!
[Reply]
erman yang misteri…
cuak betul
tak dapat agak kerekter dia
dan sedang menunggu perkembangan karekter ni..
[Reply]