Langit Ilahi Rotating Header Image

Sirah: Imannya yang paling berat

Bagaimana kah keimanan kita sekarang?

Bagaimana kah keimanan kita sekarang?

Dia adalah yang pertama beriman dari kalangan masyarakat Makkah selepas ahlul bait Rasul SAW. Dia adalah teman rapat Rasulullah SAW. Semasa zaman jahiliyyah, dia pernah bersama Rasulullah SAW dalam ekspedisi berdagang ke Syam.

Apabila Rasulullah SAW menerima wahyu pertamanya, dia adalah orang pertama, selain keluarga yang diceritakan berkenaan hal itu. Tanpa memperlekehkan, atau meragui, dia terus menerima. Walau hanya dengan lima ayat dari Surah Iqra’ baru sahaja turun ketika itu.

Ya. Walau hanya dengan lima ayat dari Surah Iqra’, walau ketika itu Islam belum sempurna, walau ketika itu Al-Quran belum turun dengan lengkap, walau ketika itu Rasulullah tidak punya sesiapa. Dia terus beriman.

Dia adalah yang dijemput kebaikan kerna ketulusannya. Manusia yang dipilih Allah SWT untuk menjadi seorang yang hebat. Hasil ketelusannya, dia ditarbiyyah sehingga mempunyai iman yang paling berat dalam ummat Rasulullah SAW.

Siapakah dia?

Namanya adalah Abu Bakr RA.

Saya, sampai hari ini kagum dengan Abu Bakr RA.

Saya kagum, bagaimana dia boleh terus beriman dengan Rasulullah SAW, hanya dengan lima ayat dari Surah Iqra’ yang turun ketika itu. Selepas itu, dia boleh terus mengajak lebih ramai orang untuk beriman kepada Allah SWT.

Antara manusia yang Islam di tangannya adalah: Uthman ibn Affan RA, Zubayr ibn Awwam RA, Sa’ad ibn Abi Waqqas, Abu Ubaidah ibn Al-Jarrah, Abdurrahman ibn Auf, Talhah, Bilal bin Rabah.

Ketika itu, dia menyebarkan Islam hanya dengan ayat-ayat Al-Quran yang baru turun. Yang ketika itu Al-Quran belum lengkap dan Islam masih belum sempurna. Tetapi dia menyebarkan. Dia menyebarkannya dengan penuh keyakinan. Tiada sedikit pun ragu.

Hari demi hari, bila melalui kehidupan sebagai muslim di sisi Rasulullah SAW, kualiti keimanan Abu Bakr RA semakin hari semakin meningkat. Dia belajar, dan dia menjalani didikan dari madrasah Rasul SAW. Dia adalah yang paling merasakan, dan dia adalah antara manusia yang paling hampir dengan Rasulullah SAW.

Pernah sekali, Rasulullah SAW dipukul oleh bangsa Quraisy kerna baginda melakukan ibadah di kawasan Masjidil Haram. Apabila Abu Bakr RA mendengar sahaja akan hal ini, dia terus bergegas mendapatkan Rasulullah SAW yang sedang dipukul. Dia terus menyelamatkan baginda, dengan menjerit kepada kaum Quraisy:

“Apakah kalian hendak membunuh seorang manusia, hanya kerana dia menyatakan bahawa Allah adalah tuhannya?”

Lantas, Abu Bakr pula dipukul sehingga pengsan.

Yang membuatkan saya terharu dan hampir menitiskan air mata, apabila Abu Bakr bangkit sahaja dari pengsannya, dia terus bertanya kepada ibunya yang menjaga di sisinya.

“Di manakah Rasulullah? Bagaimanakah Rasulullah?”

Dia tidak sedikit pun kisah dengan tubuhnya yang dipukul. Ibunya menyuruh dia bertenang. Tetapi Abu Bakr RA berkata: “Demi Allah, saya tidak akan bertenang selagi mana saya tidak bertemu dengan Rasulullah SAW”

Kalau kita, dipukul kerana seseorang, mungkin kita akan caci maki orang yang kita pertahankan. Tetapi cinta dan kasih Abu Bakr RA kepada Rasulullah SAW, amat tinggi, sehingga sakit di tubuhnya tidak terasa. Cinta dan kasih Abu Bakr RA ini, puncanya adalah keimanannya kepada Allah SWT.

Kekuatan iman Abu Bakr RA kemudiannya ditambahkan lagi, apabila dia melalui beberapa siri tarbiyah daripada Allah SWT.

Ketika Rasulullah SAW menjalani Isra’ dan Mi’raj, kemudian menceritakan kepada kaumnya, dia dipermainkan oleh kaum Quraisy dan dipanggil gila kerana cerita itu di luar akal. Malah, ada beberapa orang terus tidak yakin kepada Islam. Maka, kaum Quraisy mengambil peluang ini untuk merapuhkan pegangan Abu Bakr.

“Wahai Abu Bakr, tidak kah kau mendengar sahabatmu itu berkata apa-apa?”

“Dia berkata apa?”

“Dia telah pergi ke masjidil aqsa, naik ke langit tertinggi, kemudian pulang semula ke mari. Semuanya dalam satu malam sahaja”

Abu Bakr ketika itu dengan tenang menjawab: “Andai kata Rasulullah berkata lebih dari itu pun, aku tetap akan percaya”

Ketika hijrah, apabila dia dan Rasulullah SAW bersembunyi di dalam gua Tsur, dia amat gelisah. Kerna orang quraisy sudah berada di hadapan pintu gua. Dia berkata kepada Rasulullah SAW dalam resah:

“Ya Rasulullah, andai kata mereka menundukkan kepala dan melihat ke dalam gua, nescaya mereka akan dapat melihat kita”

Nampak. Ketika ini, dia juga ketakutan. Namun, ini adalah didikan kepadanya. Rasulullah SAW bersabda:

“Wahai Abu Bakr, apa pandangan kamu, jika kita berdua, dan yang ketiganya adalah Allah?”

Ini memberikan kesan dalam keimanan Abu Bakr RA. Daripada Rasulullah SAW, dia belajar untuk yakin sepenuhnya kepada Allah SWT.

Sebab itu, kita perhatikan betapa kuatnya iman Abu Bakr RA, sehingga dia sanggup berikan segalanya untuk Allah dan Rasul.

Satu hari, Rasulullah SAW menyeru muslimin untuk memberikan derma bagi menyokong belanja perang. Umar Al-Khattab RA berkata pada har itu:

“Hari ini, aku akan mendahului Abu Bakr dalam melakukan kebaikan”

Umar Al-Khattab terus pergi bertemu Rasulullah SAW dan menderma separuh dari keseluruhan hartanya. Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Umar, apakah yang kau tinggalkan untuk keluargamu?”

Umar menjawab: “Bilangannya sama seperti apa yang aku beri”

Umar berkata: “Abu Bakr pasti tidak mampu memberikan sebanyak aku”

Apabila Abu Bakr datang, dia memberikan hartanya. Rasulullah SAW bertanya: “Wahai Abu Bakr, apakah yang kau tinggalkan untuk keluargamu?”

“Aku tinggalkan mereka Allah dann Rasul-Nya”

Ketika itu, Umar Al-Khattab berkata: “Hari ini baru aku tahu bahawa, aku memang tidak akan mampu menandingi Abu Bakr”

Ketika peperangan Uhud, semasa Rasulullah SAW terkepung oleh Kaum Musyrikin Makkah, Abu Bakr RA adalah orang yang pertama berlari ke arah baginda bagi melindunginya.

Abu Bakr RA, amat bersungguh-sungguh dalam melakukan kebaikan. Kalau boleh, segala kebaikan ingin dia lakukan. Pernah satu hari, Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa dari kalangan manusia yang mendirikan solat akan dipanggil ke syurga melalui pintu solat. Sesiapa dari kalangan manusia yang berjihad, akan dipanggil dari pintu jihad. Sesiapa yang bersedewah pula akan dipanggil dari pintu sadaqah. Sesiapa yang berpuasa, maka dia akan dipanggil dari pintu bernama Ar-Rayyan.”

Ketika itu, Abu Bakr RA bertanya: “Ya Rasulullah, apakah ada orang yang dipanggil dari semua pintu?”

Rasulullah SAW menjawab: Ada. Dan aku berharap, kamu adalah dari kalangan mereka wahai Abu Bakr”

Satu hari, Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat-sahabatnya selepas Solat Subuh: “Siapakah yang memulakan hari ini dengan berpuasa?” Abu Bakr menjawab: “Saya”

Rasulullah SAW bertanya: Siapakah pada hari ini, dia menguruskan majlis pengkebumian?

Abu Bakr menjawab: Saya

Rasulullah SAW bertannya: Siapakah pada hari ini, dia memberikan makan kepada orang?

Abu Bakr menjawab: Saya

Rasulullah SAW bertanya lagi: Siapakah pada hari ini yang menziarahi orang sakit pada hari ini?

Sekali lagi Abu Bakr menjawab: Saya

Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Jadi, semua perkara ini tidak akan berkumpul pada seorang manusia, melainkan manusia itu masuk ke syurga”

Abu Bakr RA juga adalah yang paling memahami Rasulullah SAW. Ketika Islam telah sempurna, turun ayat dari Surah Al-Maidah. Ayat yang ke-3:

Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Surah Al-Maidah ayat 3.

Turun sahaja ayat ini, Abu Bakr RA menangis.

Beberapa orang sahabat pelik. “Kenapa dengan dia ini? Agama kita telah sempurna, dia pula menangis kesedihan”

Abu Bakr RA berkata: “Tahukah kamu, selepas kesempurnaan, pasti akan ada kehilangan?”

Kerna Abu Bakr RA dapat merasakan bahawa, hari Rasulullah SAW hendak meninggalkan mereka sudah hampir dengan sempurnanya Islam.

Rasulullah SAW ada bersabda:

“Allah telah memberikan hamba-Nya, untuk menerima kemewahan dunia dan segala isinya, atau untuk menerima kebaikan di sisi Allah. Maka hamba itu telah memilih kebaikan di sisi Allah.”

Abu Bakr RA ketika itu terus berteriak sambil menangis hiba.

“Ya Rasulullah, ibu dann ayah kami menjadi korban untuk kamu. Pilihlah kedua-duanya sekali!”

Beberapa orang sahabat yang di tepinya terkejut lalu berkata: “Apakah orang tua ini? Rasulullah menyebut berkenaan hamba Allah yang Allah telah berikannya pilihan untuk memilih dunia atau untuk berada di sisi Allah. Sedanngkan Abu Bakr ini sibuk berkata kami hendak korbankan ayah dan ibu kami”

Namun selepas Rasulullah SAW wafat, sahabat-sahabat yang mengata Abu Bakr tadi berkata:

“Baru kami faham kenapa Abu Bakr berteriak pada hari itu. Rupanya hamba Allah yang dimaksudkan oleh Rasulullah ketika itu, adalah Rasulullah SAW sendiri”

Rasulullah SAW bersabda mengenai Abu Bakr:

“Andai aku boleh memilih kekasih selain Allah SWT, maka aku akan memilih Abu Bakr RA sebagai kekasih aku”

Rasulullah SAW tidak pernah menyatakan secara rasmi siapakah pengganti baginda dalam memimpin manusia. Tetapi baginda ada meninggalkan beberapa tanda bahawa Abu Bakr lah penggantinya.

Seorang wanit tua bertemu dengan Rasulullah SAW dan bertanya: “Wahai Rasulullah, kepada siapakah aku hendak mengadu, sekiranya kau telah tiada nanti?”

“Sekiranya kau mendapati aku telah tiada, maka carilah Abu Bakr”

Begitu tinggi sekali tingkatan darjat Abu Bakr di sisi Allah dan Rasul-Nya. Kenapa? Adakah kerna Abu Bakr ini orangnya banyak berqiamullail? Adakah kerana Abu Bakr ini orangnya amat zuhud? Adakah kerana Abu Bakr ini banyak bergadai nyawa?

Semua sahabat pun begitu. Maka apa lebihnya Abu Bakr?

Lebih Abu Bakr adalah pada keimanannya.

Ya. Orang akan kata pada saya, iman itu di dalam hati. Macam mana kita boleh tahu iman Abu Bakr itu macam mana.

Tapi saya ada buktinya.

Iman manusia hanya akan tertonjol ketika mereka diuji. Para sahabat menghadapi banyak dugaan yang berat. Namun dugaan terberat bagi para sahabat bukannya peperangan yang meragut nyawa. Tetapi dugaan terberat untuk mereka adalah ketika wafatnya manusia yang mereka paling cinta. Yakni Rasulullah SAW.

Umar RA ketika itu terus mengembarkan pedang di jalanan dan berteriak: “Siapa yang menyatakan Rasulullah telah wafat, maka pedang ini akan menjamah lehernya!”

Sahabat-sahabat ketika itu kucar kacir, tambahan apabila mereka melihat Umar bertindak sedemikian rupa. Ada sahabat yang pengsan. Ada sahabat yang tidak mampu menerima perkara ini. Hingga ada beberapa orang yang berkata:

“Wahai Rasulullah, tiadalah dugaan yang lebih berat dari dugaan ini”

Ada pula yang berkata: “Ketika hari Rasulullah SAW datang ke Madinah, dunia seakan terang benderang dengan cahaya. Tetapi hari ini adalah hari yang paling gelap sekali untuk kita”

Yang bertenang hanyalah Abu Bakr. Dia naik ke mimbar dan meminta Umar senyap. Namun Umar terus berdegil. Lantas Abu Bakr memulakan kata-katanya. Kata-katanya mudah. Tetapi mampu membuatkan Umar yang terbakar jatuh terjelepuk. Abu Bakr membaca firman Allah SWT dari Surah Ali Imran ayat

Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu). Surah Ali-Imran 144.

Kemudian Abu Bakr berkata:

“Wahai manusia, sekiranya kamu menyembah Muhammad, maka Muhammad telah mati. Barangsiapa yang menyembah Allah, maka ketahuilah bahawa Allah itu hidup dan tidak akan mati”

Umar RA yang terjelepuk itu berkata: “Sungguh, kami seakan-akan tidak pernah mendengar ayat itu sebelum ini”

Itulah dia keimanan Abu Bakr RA. Amat kuat. Ampuh. Utuh.

Bermula hanya dengan lima ayat Surah Iqra’ sahaja.

Kita bagaimana?

Al-Quran di tangan kita sudah sempurna. Islam di dunia kita telah tersebar. Kenapa kita masih meragukan kehebatan Allah SWT? Kenapa kita masih tergerak untuk mencaci Rasulullah SAW dan meragui perjuangan baginda?

Mari kita muhasabah keimanan kita.

Print This Post Print This Post

12 Comments

  1. itulah sahabat nabi..keimanan nyer tidak terkira..malahan lebih berat dari seluruh umat islam..

    tersentuh hati..bile membacenyer..sudah mase utk kite malekakukan perbuahan..

    thanks…

    [Reply]

  2. az-zahra says:

    salam akhi hilal..
    termenung ana seketika apabila memikirkannya..
    tersentak hati ana, dan bertanya sendiri “sempurnakah imanku hari ini???”
    seandainya rasulullah melihat apa yang telah terjadi pada umat yang disayanginya,
    pasti pasti air matanya jatuh menitis..
    melihat umatnya semakin hanyut di lambung gelombang dunia..
    sanggupkah kita menitiskan airmata kekasih allah??
    tiadakah perasaan kasih kita terhadap insan yang terlalu mengasihi kita sebagai umatnya??
    abu bakar terlalu mengasihi rasulullah dan sanggup mengorbankan jiwa dan raganya untuk baginda..
    dia membenarkkan setiap kata-kata rasulullah tanpa meraguinya..
    kenapa???
    kerana imannya yang teguh yang tak pernah goyah dengan setiap ujian yang berikan..
    hari ini agama kita telah sempurna tapi kenapa iman kita tidak sesempurna iman abu bakar ketika itu??
    marilah kita berfikir sejenak..
    bermuhasabah diri..

    [Reply]

  3. mamat says:

    salam.ini kali pertama rasanya saya tinggalkan komen di website saudara hilal dek tertarik dengan kandungan artikel saudara.

    sejujurnya,artikel saudara membuatkan saya teringat akan hadith nabi(saya tak pasti kesahihannya dan saudara lebih pakar dalam hal ini).begini sabdanya:beruntunglah siapa yang melihat aku dan beriman denganku,beruntunglah dan beruntunglah dan beruntunglah siapa yang beriman dengan aku tetapi tidak melihat aku.jelas di sini menunjukkan kelebihan keimanan umat akhir zaman.

    untuk mencapai keimanan ada berbagai cara dan pendekatan.sesuai mengikut keadaan dan tahap pemikiran seseorang.ada yang berzikir sebanyak2nya,ada yang buat ibadat lain,ada yang mengkaji quran,ada yang mengkaji sains malahan ada yang mengkaji agama dan fahaman lain.tapi destinasinya satu iaitu meningkatkan keimanan.

    salam ramadhan dari saya.

    [Reply]

  4. irfan rabbani says:

    alhamdulillah…

    alhamdulillah…

    alhamdulillah..

    sedikit kekuatan menguasai diri
    ini tika membaca tinta saudara..

    terima kasih..

    [Reply]

  5. aufa says:

    Bismillah :smile:

    Alhamdulillah :smile:

    Nak jadik macam Abu Bakr RA :!: :grin:

    [Reply]

  6. abduhu siir says:

    salam~
    teringt satu nasyid yg menyentuh hati..
    kump mirwana- khalifah pertama..

    disana terpancar sinar cahaya..
    menerangi lorong2 yg gelita..
    namun mereka tiada percaya..
    malah mencaci dan menghina..
    engkaulah yg pertama membenarkannya..
    hilang saudara, hilang segala2..
    engkau tetap setia..
    kalimah tuhan tetap bertahta..
    kaulah lambang teman sejati
    pada kekasih janji di patri..
    khalifah pertama..
    menggenggam erat panji suci bila kekasih tiada lagi..
    teman di kala suka dan duka..
    tiada apa yg dapt membezakan..
    rela berkorban harta dan nyawa..
    lafazmu hanya kebenaran..
    tika bisa jengkala mencengkam tubuh..
    kekasih lena di pangkuan mu..
    engkau tetap setia hingga mengalir air mata..
    disinilah janji setia..
    antara sahabat dan kekasih..
    menjadi inspirasi kami..
    walau tiada pernah bersua..
    aku kan tetap setia untuk selama2nya..
    khalifah pertama..
    menggenggam erat panji suci bila kekasih tiada lagi..
    semoga kecintaan kita semua terhadap rasul makin bertambah..
    ameen ya allah..

    [Reply]

  7. hajia says:

    YA ALLAH, BEKALKAN KAMI IMAN SEUMPAMA ABU BAKAR RA DAN OLEHKANLAH YA ALLAH, KAMI REZEKI MELIMPAH RUAH UNTUK KAMI BERAMAL DENGANNYA..CUCURLAH RAHMATMU PADA KAMI YA ALLAH DI BULAN PENUH BARKAH INI YA ALLAH DAN IZINKAN HAMBA TERUS MENERUS MELIHAT KEBESARANMU DENGAN BERBAGAI PERKARA YANG ENGKAU CIPTA SEPERTI SALAH SATU PENULISAN INI YANG BOLEH MENAMBAH IMAN KAMI TIKA MEMBACANYA DAN MEMAHAMI ISI KANDUNGANYA YA ALLAH, ENGKAULAH YANG MAHA PENGASIH ..AAMEEN

    [Reply]

  8. ummu_shihab says:

    salam..
    kredit untuk artikel ni.:) rasa tercharge semula iman yg suam-suam suku..benarlah sabda Rasulullah, Iman Abu Bakar dibandingkan umat ini amat berat..muhasabah diri, (sini ana share sket, kalau salah harap betulkan ) masih ramai yang simpan duit kat bsn dan bank2 konvensional..padahal Allah dan Rasul isytihar perang kat sape2 yg terlibat riba..sehingga ibn ‘Abbas (kalu tak silap) berkata : ” Tidak ada satu ayat pun yang menunjukkan kemurkaan Allah YG paling dahsyat melainkan ayat tentang riba ini”.Alhamdulillah Malaysia merupakan negara yg paling bnyak bank Islam kat Dunia ( sekitar 15 kalu tak silap) sehingga bank2 kat Arab pun baru ada 3 je bank Islam..macam al-Rajhi pun masih baru dan sering ke Malaysia untuk minta tunjuk ajar..tp dalam 15 buah tu, baru 15% sahamnya berbanding bank konvensional…semoga teman2 terus istiqamah dan war-warkan isu ni…Ramai-lah menyimpan di institusi Islam, baik bank/ koperasi muslimin…sama2lah kita berperang dengan jahiliah dan menguatkan sistem islam by this way..teruslah istiqamah memberi melalui medan penulisan..moga Ramadhan kali ni lebih bermakna..dalam merebut darjat “taqwa” di hujungnya.

    [Reply]

  9. wmb says:

    bulan ramadhan al mubarak ini merupakan bulan terbaik untuk kita mempertingkatkan amalan,iman dan taqwa kita. ia merupakan suatu bulan yg amat istimewa. semua perubahan itu memerlukan kepada muhasabah diri agar kita sedar dan bertambah keyakinan kita kpd Allah dan rasul, kerana kita adalah umat yg tidak bersama2 rasulullah tp kita bersama dengan sahabat2 seakidah yg perlu untuk kita sentiasa bersama dan saling ingat memperingati….berusahalah untuk membina hati yg hidup dan sihat kerana dengan hati ini sahaja akan sedar tentang semua ini dan mahu kepada hijrah…semoga Allah memberi kita kudrat untuk menuju kearahnya,insyaallah…

    [Reply]

  10. athirahwani says:

    salam.
    sy sgt adore Saidina Abu Bakar,
    beliau sgt hebat dlm kelembutan nya.
    ;)
    tringin nk jd cm beliau.

    [Reply]

  11. Hilal Asyraf laksamana says:

    Assalamu’alaikum,

    -kepada silver soldier,
    Ya.sudah tiba masanya, kita berhenti bermain-main dalam kehidupan kita.

    -kepada az-zahra,
    Inilah yang kita perlu perhatikan. Al-Quran di tangan kita telah sempurna, tetapi bagaimana agaknya keimanan kita? Mari muhasabah iman…

    -kepada mamat,
    Alhamdulillah, terima kasih atas perkongsian hadithnya. Ini baru pertama kali saya dengar hadith itu. Tapi Rasulullah SAW memang ada menyebut akan kelebihan ummat yang tidak melihatnya, tetapi beriman dengannya.
    Apa-apa pun wasilah yang diambil, perlulah syara’ walaupun matlamatnya adalah untuk meningkatkan iman. Semoga Allah redha dengan kita semua.
    Moga kita benar-benar mampu mempertingkatkan iman kita.

    -kepada irfan rabbani,
    Alhamdulillah. Moga kekuatan yang sedikit itu, membesar dan terus meningkat.
    Dan segalanya datang daripada Allah, termasuklah kekuatan.

    -kepada aufa,
    Jom!

    -kepada abduhu siir,
    Saya minat nasyid ni jugak. Junior saya dulu, selalu ulang sampai saya hafal. Hu3…

    -kepada hajia,
    Amin… amin.. amin ya Allah…

    -kepada ummu_shihab,
    Terima kasih atas perkongsiannya ummu shihab, Semoga Allah SWT membantu urusan orang Islam. Orang Islam pula, perlulah berusaha mengubah apa yang ada dalam diri mereka terlebih dahulu.

    -kepada wmb
    Semoga kita mampu membina hati yang hidup dan berjaya dalam perjalanan kita di atas dunia ini. Pastikan, jalan yang kita ambil itu masyru’ dan bersih serta diredhai Allah SWT.

    -kepada athirahwani
    Salam kembali… hmmm, sama la kita.
    Semoga Allah bantu kita untuk menjadi sepertinya…

    ~seorang hamba…
    Hilal Asyraf

    [Reply]

  12. mamat says:

    ini hadithnya.saya cari di internet.

    بينا نحن عند رسول الله عليه السلام إذ طلع راكبان ، فلما رآهما قال : كنديان مذحجيان حتى أتياه ، فإذا رجلان من مذحج ، فدنا أحدهما إليه ليبايعه ، فلما أخذ بيده قال : يا رسول الله ! أرأيت من رآك فصدقك وآمن بك واتبعك ماذا له ؟ قال : طوبى له ، فمسح على يده وانصرف ، ثم قام الآخر حتى أخذ بيده ليبايعه ، فقال : يا رسول الله ! أرأيت من آمن بك وصدقك واتبعك ولم يرك ؟ قال : طوبى له طوبى له ، ثم مسح على يده وانصرف
    الراوي: أبو عبدالرحمن الجهني المحدث: ابن عبدالبر - المصدر: الاستذكار - الصفحة أو الرقم: 1/229
    خلاصة الدرجة: حسن، ورواته معروفون

    [Reply]

Leave a Reply