Tiada peribadi yang lebih indah daripada baginda Rasulullah SAW. Saya merasa amat rendah hati apabila hendak menceritakan susuk tubuh yang mulia ini. Namun saya kira, apa salahnya saya kongsikan perasaan saya terhadap baginda dengan kamu semua.
Rasulullah SAW inspirasi saya. Baginda adalah manusia yang saya segan dengannya. Baginda adalah insan yang bila sirahnya dibentangkan di hadapan saya, saya bergetar. Baginda adalah yang saya amat sayang. Walaupun saya tidak tahu, sama ada di akhirat kelak baginda mengenali saya sebagai ummatnya atau tidak.
Saya hendak berkongsi perihal Rasulullah SAW.
Susuknya yang mulia.
Yang menghamburkan cinta kepada sesiapa yang mengenali baginda.
Kelebihan baginda yang tertinggi – akhlak
Bagi manusia, aset terbesarnya adalah syakhsiah dirinya. Rasulullah SAW, asetnya ini berjaya dikuasai. Hasil daripada tarbiyah langsung oleh Allah SWT, baginda mempunyai akhlak yang sangat bersih.
Saidatina Aisyah pernah ditanya berkenaan akhlak Rasulullah SAW, Saidatina Aisyah menjawab: “Akhlaknya seperti Al-Quran”
Baginda adalah pembumian Islam. Baginda adalah bukti daripada Allah SWT bahawa Islam itu mampu dilaksanakan. Dan kalau ada orang berkata: “Boleh lah, dia Nabi”, saya akan berkata: “Maka lihatlah Abu Bakr, lihatlah Umar. Mereka ditarbiyah oleh Rasulullah SAW. Bukankah mereka manusia biasa?”
Baginda Rasulullah SAW sangat merendah diri. Walaupun dia Rasul, dia langsung tidak membesarkan dirinya. Hatta apabila dia diseksa di Taif dan Allah menghantar malaikat untuk menghukum penyeksanya, dia meminta Allah melepaskan mereka.
“Moga nanti, dari tulang sulbi mereka, muncul manusia yang beriman” Itu bicara baginda.
Saat baginda diizinkan Allah SWT untuk mengucup kemenangan besar pada Fathu Makkah, baginda tidak memasuki Tanah Haram itu dengan mendabik dada megah. Tetapi baginda menunduk, bertasbih memuji-muji Allah SWT dengan penuh rasa kerdil. Hingga diriwayatkan bahawa, dagunya hampir menyentuh tubub Qaswa, unta tunggangannya.
Baginda sangat rapat dengan anak-anak. Baginda juga mencintai orang miskin dan anak yatim. Baginda pernah merapatkan jari telunjuknya dan jari hantunya, kemudian baginda bersabda: “Aku dengan anak yatim, adalah seperti ini”
Bukan pendendam
Rasulullah SAW tidak menyimpan hasad di dalam jiwanya. Ketika menawan Makkah, semua kaum quraisy yang pernah menyiksanya dahulu merasa risau. Pada saat itu, Rasulullah SAW bertanya:
“Pada pemikiran kamu, apakah yang akan aku lakukan?”
Kaum Quraisy menjawab: “Kamu wahai Muhammad, hanya melakukan yang baik-baik sahaja”
Rasulullah SAW tersenyum. “Kamu semua bebas”
Mudah. Tidak dia membalas perbuatan orang-orang kafir Makkah. Tidak pula dia mencari personal-personal yang telah menyusahkan jalan dakwanya. Tidak. Tetapi dia memaafkan.
Sangat amanah
Rasulullah SAW digelar Al-Amin oleh kaum Quraisy. Digelar Al-Amin kerana baginda amat amanah, jujur dan tidak pernah berbohong. Langsung tidak khianat. Walaupun selepas itu kaum quraisy menentang baginda, Rasulullah SAW tetap menjaga dengan penuh amanah barang-barang yang disuruh kaum quraisy untuk dijaga.
Rasulullah SAW tidak mencuri barangan mereka. Rasulullah SAW tidak menghilangkan barangan mereka. Walaupun mereka menyusahkan kehidupan baginda. Malah, antara sebab Rasulullah SAW meninggalkan Ali RA semasa peristiwa Hijrah adalah untuk memulangkan semua barangan yang disuruh oleh Kaum Quraisy, untuk Rasulullah SAW menjaganya.
Dia Suami Romantik, Bapa Penyayang, Sahabat terbaik
Rasulullah SAW tanpa segan, senang bermain lumba lari dengan Aisyah RH. Pernah juga sekali, semasa ada pertunjukan, dan Aisyah ingin melihatnya, Rasulullah SAW meletakkan dagu Aisyah pada bahunya.
Rasulullah SAW juga adalah bapa yang sangat penyayang. Dia amat menyayangi Fatimah. Diriwayatkan bahawa, setiap kali dia bertemu Fatimah, dia akan mencium dahi anak perempuan kesayangannya itu.
Rasulullah SAW juga sahabat yang terbaik. Ketika Abu Bakr RA menawarkan untanya semasa peristiwa hijrah, Rasulullah SAW tidak mahu menerianya kecuali dengan bayaran. Rasulullah SAW juga tidak segan memberitahu kasih baginda kepada sesiapa yang baginda cintai.
Pernah seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW: “Ya Rasulullah, siapakah manusia yang paling kau cintai?”
Tanpa ragu, Rasulullah SAW menjawab: “Aisyah”
“Dari kalangan lelaki?”
“Ayahnya(Yakni Abu Bakr)”
Baginda juga pernah besabda: “Andai aku boleh memilih kekasih lain selain Allah, maka aku akan memilih Abu Bakr menjadi kekasihku.”
Sangat tabah
Yang menggerakkan hati saya, adalah kehidupannya yang padat. Rasulullah SAW berdakwah, menjadi hakim, menjadi sahabat, menjadi suami, menjadi bapa, menjadi jiran, menjadi ketua negara, menjadi ketua perang. Waktu siangnya teramat sibuk.
Tetapi, kesibukan waktu siangnya tidak menganggu qiamnya yang panjang pada waktu malam. Sehingga satu tahap, kaki baginda bengkak-bengkak kerana terlalu lama bersolat.
Aisyah pada satu hari bertanya: “Kenapa kau sampai begini? Sedangkan Allah telah mengampunkan dosa kau yang telah lepas dan yang akan datang”
Rasulullah dengan penuh rendah hati menjawab: “Salahkah aku menjadi hamba yang bersyukur?”
Macam mana agaknya, seorag manusia yang teramat sibuk pada waktu siangnya, mampu bangun da menunaikan solat malam terlalu lama hingga kakinya bengkak?
MasyaAllah.
Lau kana bainana(Kalaulah baginda ada antara kita)
Ada satu rancangan televisyen di tanah arab ini, show bertajuk Lau Kana Bainana. Lau Kana Bainana bermaksud – kalaulah baginda ada di antara kita – dan setiap show akan disertai satu hadith Rasulullah SAW dan mereka akan mencubanya di satu tempat untuk melihat adakah orang mempraktikkannya.
Hos program ini akan bergerak kepada orang ke orang, dan bertanya berkenaan perlaksanaan hadith tadi. Di akhir soalannya, dia akan bertanya:
“Lau kana Rasulullah SAW bainana al an, keif?” Kalau lah Rasulullah SAW itu berada di antara kita sekarang, bagaimana?
Anda perlu saksikan di dalam video ini, bagaimana seorang perempuan yang menjadi ‘mangsa’ dalam rancangan itu, menangis serta merta apabila mendengar pertanyaan itu. Betapa perempuan ini pada saya, cintanya sangat mendalam pada Rasulullah SAW. Sehingga dia menangis apabila membayangkan susuk yang mulia itu berada di sisinya. Dalam video ini, dilakukan perbuatan Rasulullah SAW mengambil makanan yang jatuh. Justeru, krew telah menjatuhkan buah. Dan perempuan itu mengutipnya. Lantas dia ditanya soalan tadi. Dan dia menangis. Lihat.
Ramai lagi ‘mangsa’ lain, apabila didatangkan soalan itu, paling kurang akan terjeda. Senyap sebentar. Seakan-akan ada sesuatu yang besar berlaku. Begitu sekali mereka merasakan kecintaan kepada Rasulullah SAW. Mereka ada rasa malu, rasa segan dengan Rasulullah SAW.
Bayangkan, antara show dalam rancangan itu adalaha, pemandu kereta ditahan, kemudian diperiksa kebersihan keretanya. Lalu akhirnya ditanya:
“Kalau Rasulullah SAW ada di antara kita sekarang dan melihat keadaan kereta anda, bagaimana agaknya?”
Dan ada antara mereka tergamam sebentar.
MasyaAllah…
Bagaimana agaknya kita, kalau Rasulullah SAW ada di antara kita sekarang?
Penutup: Banyak yang hendak diceritakan
Kalau bercerita berkenaan Rasulullah SAW, 10 hari pun mungkin tidak habis. Hal ini kerana, baginda ibarat lautan ilmu yang berjaya. Baginda adalah qudwah hasanah kepada manusia yang inginkan syurga Allah SWT.
“Sesungguhnya paada Rasulullah itu contoh ikutan yang terbaik, bagi siapa yang inginkan Allah dan hari akhirat…” Al-Ahzab ayat 21.
Baginda sangat mulia dan tidak mampu diceritakan semuanya dalam dua tiga muka surat. Peirbadi baginda terlalu bersih dan amat menawan. Hatta diam baginda juga menjadi tauladan.
MasyaAllah.
Siapakah dari kalangan anda yang mengenali baginda?
Jika belum, maka selaklah sirah baginda.
Sesungguhnya anda akan jatuh cinta dengannya.
Mari kita lihat video Khalid Yassin akan susuk peribadi baginda yang menawan ini, sebagai penutup perkongsian kita.





salam…
-Bagaimana agaknya kita, kalau Rasulullah SAW ada di antara kita sekarang?-
Masyaallah.. x tau nk ckap apa..
terharu sungguh baca post ni.
-Baginda sangat mulia dan tidak mampu diceritakan semuanya dalam dua tiga muka surat. Peirbadi baginda terlalu bersih dan amat menawan. Hatta diam baginda juga menjadi tauladan
kdg2 dgr lagu al-mu’allim- sami yusuf nk nangis pn ade..
[Reply]
Assalamualaikum..
Terkesan pada ayat “من لا يرحم لا يرحم ” tu..
Subhanallah.. Astaghfirullah..
[Reply]
bertambah motivasi membaca tentang sirah nabi kita..
[Reply]
salam, syahdu pulalk bila bca artikel ni..
[Reply]
Subhanallah… begitu mulianya budi perkerti jujungan nabi kita.. x ternilai untuk di hitung…
[Reply]
Tak sabar mahu bertemu baginda..
[Reply]
Assalamu’alaikum,,
Alhamdulillah atas entry ini. InsyaAllah, sama-samalah kita berusaha menjadi hamba dan ummah yang terbaik.
Teruskan perjuangan,,
Salam ukhuwwah, mahabbah filllah,,
[Reply]
jika Rasulullah SAW ada diantara kita??
persoalan ini menitiskan air mata saya..
sungguh menusuk ke kalbu.
menambah lagi rindu didada untuk bertemu baginda..
tapi dalam masa yang sama masih lagi malu untuk bertemunya
dengan ilmu yang masih cetek..
~semoga kita semua bergerak untuk menjadi lebih baik dari semalam..
[Reply]
salam,
kalau lah kt malaysia ada program tv cmtu..
‘lau kana bainana?’
tak tahu nak kata apa..
kalau nk cari kt youtube taip rumi jumpa ke??
thanks anyway,,
[Reply]
Sirah baginda SAW yg tiada tandingan..
bekalan Quran dan Sunnah baginda, moga diamalkan
[Reply]
kalaulah baginda berada di antara kita….ape y kite buat?
[Reply]
salam..
blh x s’siape tolong terjemahkan video diatas… yg ‘Lau kana Rasulullah SAW bainana al an, keif?’
sye hanye faham bebrape perkataan.. masih tgh cube memahami..
[Reply]
salam.mungkin agak terlewat baca artikel ini. but bila bukak website youtube video khalid yassin. terkedu baca komen2 yg diberi. seakan2 mesej x tersampai. sebaliknya banyak komen yg perlekeh rasulullah. apa pandangan saudara Hilal.
[Reply]